‘Kalau dia buat dipanggil ‘sedekah’, kalau kita buat ia rasuah’- Zahid selar Hadi

‘Kalau dia buat dipanggil ‘sedekah’, kalau kita buat ia rasuah’- Zahid selar Hadi

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membidas Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang susulan kenyataannya bahawa pemberian wang tunai oleh parti itu ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sebagai sedekah.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, sekiranya perkara itu dilakukan pihak lain Abdul Hadi akan menyifatkannya sebagai rasuah, namun apabila ‘berbalik’ kepada partinya dipanggil pula sedekah.

“Kalau dia buat (dipanggil) sedekah, kalau kita (buat) dipanggil rasuah,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno turut menyifatkan kenyataan Abdul Hadi itu sebagai hipokrit.

Beliau juga menggambarkan Abdul Hadi sebagai seorang ‘ulama politik’ dan menggesanya agar tidak mengubah hukum sesuatu perkara.

“Ulama ini janganlah tukar-tukar hukum. Akhirnya ulama politik tak akan dihormati oleh rakyat dan orang Islam. Ulama kena ada integriti, jangan tukar-tukar fatwa,” katanya.

Semalam, Abdul Hadi mempertahankan pengagihan wang oleh segelintir individu kepada pengundi ketika Pilihan Raya PRU15 dengan mendakwa ia adalah sedekah.

Beliau berkata, pemberian itu adalah hak orang awam yang ingin memberikan sumbangan.

Katanya, undang-undang telah menetapkan bahawa setiap calon dan wakil calon tidak boleh memberi wang ketika berkempen.

“Mengikut undang-undang pilihan raya, calon dan wakil-wakil calon tidak boleh beri (wang), tetapi orang awam mahu beri sedekah, terpulang kepada dia,” katanya. – Malaysiapost

Komen