Kenyataan ‘sedekah’ Hadi, bukti wujud pemberian wang pada PRU15

Kenyataan ‘sedekah’ Hadi, bukti wujud pemberian wang pada PRU15

KENYATAAN Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mempertahankan pengagihan wang oleh segelintir individu kepada pengundi sebagai sedekah, membuktikan wujud pemberian wang semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah yang membidas perkara itu berkata, Abdul Hadi kini dilihat cuba ‘menghalalkan’ perbuatan itu yang ternyata salah dari segi peraturan .

“Lebih membahayakan mereka mengaitkannya dengan agama supaya dilihat suci bersih.

“Inilah budaya dan sikap PAS sejak dulu. Pihak lain semuanya salah dan sebaliknya tidak salah kalau mereka yang lakukan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jelasnya lagi, realitinya kini PAS sudah banyak berubah apabila kuasa dan kedudukan sudah menjadi sangat penting bagi parti itu kini.

“Dan kerana itu prinsip, pendirian serta peganggan PAS akan berubah kerana itu. PAS sanggup lakukan apa sahaja demi kuasa dan kedudukan. Ini hakikatnya,” katanya.

Semalam, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang mempertahankan pengagihan wang oleh segelintir individu kepada pengundi ketika PRU15 dengan mendakwa ia adalah sedekah.

Beliau berkata, pemberian itu adalah hak orang awam yang ingin memberikan sumbangan.

Katanya, undang-undang telah menetapkan bahawa setiap calon dan wakil calon tidak boleh memberi wang ketika berkempen. – Malaysiapost

Komen