KKM teliti tambah kakitangan tangani kesesakan di jabatan kecemasan

KKM teliti tambah kakitangan tangani kesesakan di jabatan kecemasan

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) sedang meneliti keperluan mendapatkan lebih ramai tenaga kerja dalam usaha menangani kesesakan di Jabatan Kecemasan di seluruh perkhidmatan kesihatan awam negara ini.

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, tidak dinafikan peningkatan jumlah pesakit saban hari dan kekurangan yang pelbagai termasuk tenaga kerja dan fasiliti memangkinkan isu kesesakan itu.

“Keperluan untuk mendapatkan lebih ramai tenaga kerja termasuk doktor, jururawat, penolong pegawai perubatan, pegawai farmasi, profession sains bersekutu dan kakitangan sokongan akan terus dilakukan.

“Kementerian akan bekerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan bagi mencari titik temu terbaik untuk menyelesaikan isu ini dalam jangka masa sederhana dan panjang,” katanya dalam ciapan di Twitter, hari ini.

Sementara itu, Dr Zaliha berkata KKM akan terus melihat kepada model kerjasama dengan agensi-agensi kerajaan, kerajaan-kerajaan negeri, pertubuhan bukan kerajaan dan sektor swasta agar isu kesesakan di Jabatan Kecemasan dapat ditangani dengan menyeluruh serta berkesan.

Katanya, penyumberluaran dan kerjasama dengan sektor swasta misalnya sudah banyak membantu semasa pandemik Covid-19 melanda.

“Model-model seperti ini akan dilihat secara lebih khusus termasuk kerjasama dengan Pengamal Perubatan Swasta. Semestinya inisiatif seperti ini memerlukan dana yang khusus.

“Digitalisasi sistem perkhidmatan kesihatan juga perlu dititikberatkan. Kementerian akan terus komited menaik taraf sistem teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sedia ada kepada sistem digital yang berpotensi membantu mengatasi masalah yang wujud.

“Banyak solusi dan intervensi digital dalam perkhidmatan kesihatan telah diperkenal di negara lain dan Malaysia harus mendokong aspirasi yang sama agar perkhidmatan kesihatan dapat berjalan dengan lebih efisien,” katanya.

Beliau berkata, pembangunan Kertas Putih Kesihatan tentunya merangkumi kesemua perkara itu dan dapat menjana perubahan makro dan mikro dalam mereformasikan sektor kesihatan negara.

“Banyak perkara yang telah kita pelajari semasa menghadapi pandemik Covid-19. Kementerian Kesihatan khususnya memahami bahawa bagi membina sebuah Sistem Kesihatan yang kukuh dan lestari, ia bukan usaha bersendirian.

“Kesihatan adalah milik semua lantas menuntut kebersamaan kita dalam usaha ini,” katanya. – Malaysiapost

Komen