Malaysia kutuk tindakan pemimpin ekstrimis politik Sweden bakar al-Quran

Malaysia kutuk tindakan pemimpin ekstrimis politik Sweden bakar al-Quran

MALAYSIA mengutuk sekeras-keranya tindakan Islamofibia oleh pemimpin ekstrimis parti politik sayap kanan Sweden-Denmark, Rasmus Paludan yang bertindak membakar salinan al-Quran di Stockholm, Sweden semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Malaysia menggesa kerajaan Sweden, mengenakan tindakan segera terhadap pelaku yang bertanggungjawab melakukan perbuatan terkutuk itu disamping mengambil langkah drastik terhadap peningkatan Islamophobia di Sweden.

“Ia satu penghinaan terang-terangan terhadap kitab suci umat Islam oleh ahli politik Sweden itu dan ketiadaan sebarang tindakan terhadap kelakuan Islamofobia tersebut merupakan satu provokasi melampau terhadap sensitiviti bukan sahaja Turkiye, tetapi lebih daripada 2 bilion Muslim di seluruh dunia.

“Malaysia mengecam jenayah kebencian berulang yang menyasarkan umat Islam di seluruh dunia begitu juga segala bentuk hasutan kepada kebencian yang menyemarakkan sikap perkauman,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Anwar berkata, ia termasuklah perkataan atau kelakuan dan pandangan tertentu dengan kebimbangan peningkatan ungkapan kebencian terhadap kepercayaan atau eknik tertentu.

Menurutnya, Malaysia menekankan kepentingan mengutamakan prinsip dialog, persetujuan serta sikap saling menghormati dalam menyelesaikan sesuatu pertikaian dan menyeru komuniti antarabangsa untuk menolak kebencian bangsa atau agama yang bertopengkan kebebasan bersuara dan bersatu menentang segala bentuk hasutan terhadap kebencian dan keganasan.

Semalam, Paludan menyertai bantahan di hadapan Kedutaan Turkiye di Stockholm, bertindak membakar al-Quran dengan pemetik api.

Dia bersama kira-kira 100 orang yang berhimpun itu berbuat demikian selepas Turkiye dilaporkan membantah keanggotaan penyertaan Sweden dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO). – Malaysiapost

Komen