Ratusan pemimpin, ahli Umno Negeri Sembilan mohon sertai PAS – Hadi

Ratusan pemimpin, ahli Umno Negeri Sembilan mohon sertai PAS – Hadi

BEKAS Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Dr Mohammad Fairus Khairuddin dan artis popular era 80-an, Dayangku Intan antara individu penerima sijil keahlian PAS, semalam.

Perkara itu dimaklum Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menerusi hantaran di Facebooknya, malam tadi.

Abdul Hadi berkata, selain Mohamad Fairus dan Dayangku Intan, bekas Ketua Pemuda Umno Seremban, Zool Amali Hussin turut menerima sijil keahlian sama.

“Alhamdulillah syukur kepada Allah, PAS telah menerima ratusan permohonan menjadi ahli PAS daripada mantan pemimpin Umno dan tokoh masyarakat di Negeri Sembilan hari ini.

“Saya mengucapkan selamat datang kepada mantan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Mohammad Fairus mantan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Seremban, Zool Amali Hussin, penyanyi Dayangku Intan serta ratusan bekas ahli Umno yang telah menjadi ahli PAS,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Menurut Abdul Hadi, serahan sijil keahlian PAS dilakukan tengah hari semalam, sempena program Semarak Gelombang Rakyat bersama Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan.

“Mudah-mudahan lebih ramai pemimpin dan ahli Umno serta tokoh-tokoh masyarakat yang akan mengikut jejak langkah mereka. PAS untuk semua,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan, Dayangku Intan atau nama sebenarnya Tengku Intan Abdul Hamid mengumumkan menyertai PAS pada Disember lalu.

Dia turut mengakui tidak sangka bersama PAS kerana selama ini takut dengan parti Islam itu lebih-lebih lagi statusnya sebagai artis.

Tambah Dayangku Intan, keputusannya menyertai PAS bukan untuk mendapatkan apa-apa imbuhan tetapi tertarik dengan cara parti itu. – Malaysiapost

Komen