Setiap ahli berhak rujuk RoS – Ismail Sabri

Setiap ahli berhak rujuk RoS – Ismail Sabri

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan Pendaftar Pertubuhan (RoS) adalah tempat rujukan terakhir untuk ahli Umno mengesahkan keputusan yang dicapai pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang lalu.

Beliau berkata, setiap ahli mempunyai locus standi iaitu kepentingan dalam parti apabila timbul masalah berkait dengan pendaftaran, kesahihan, mesyuarat dan sebagainya.

“Setiap ahli berhak atau siapa-siapa rasa nak pergi ke RoS, tidak ada sesiapa boleh menghalang mereka. Terserah kepada ROS untuk buat keputusan.

“Seperti saya kata, setiap ahli dalam Umno berhak apabila mereka mempunyai locus standi kerana mempunyai kepentingan kepada Umno apabila timbul masalah berkait dengan pendaftaran, kesahihan, mesyuarat dan sebagainya. Maka rujukan terakhir mereka adalah RoS,” katanya memetik Malaysia Gazette.

Beliau berkata demikian kepada media ketika di di rumah terbuka Tahun Baru Cina anjuran MCA, hari ini.

Kenyataan tersebut mengulas tindakan dua ahli Umno yang mendesak RoS meneliti laporan persidangan PAU 2022 mengandungi usul tambahan berkaitan jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertanding pada pemilihan akan datang.

Kelmarin, ahli Umno Bahagian Kuala Nerus, Muhammad Aizat Fikri Mohd Nasir dan ahli Umno Negeri Sembilan, Muhammad Fiqri Firdaus Muhammmad Rom membuat aduan kepada RoS berhubung perkara tersebut.

Mereka mendakwa, usul berkenaan adalah tidak sah dan bertentangan dengan perlembagaan Umno serta peraturan persidangan bahagian dan cawangan.

Dalam perkembangan berasingan, Ismail Sabri menegaskan, situasi dalam Umno dan Barisan Nasional (BN) ketika ini kekal tenang.

Malah katanya, situasi dalam Umno sekarang lebih baik dan jauh lebih tenang sekali gus menyangkal dakwaan berlaku keadaan berpuak-puak dalam parti itu.

“Lebih tenang. Sudah tentu kita tenang sekarang. Memang kita pun tenang sekarang. Tak ada masalah. Ada masalah tak dengan BN?” ujarnya.

Sementara itu, Ismail Sabri mencabar individu yang sebelum ini lantang bersuara mengenai isu rakyat supaya muncul berbuat perkara sama terhadap pentadbiran kerajaan hari ini.

Teguran itu dibuat oleh Ismail Sabri sebagai peringataan terhadap pihak yang dianggap mudah ‘melepaskan tangan’ dengan menghukum peniaga yang dikatakan masih menjual makanan pada harga tinggi.

“Malah hari ini, lihat laporan media kalau harga makanan meningkat, boikot kedai makanan. Kenyataan seperti ini tidak membantu rakyat.

“Kalau bahan mentah meningkat, (seperti) sayur harga mahal pasti peniaga-peniaga di restoran naik harga. Kalau boikot peniaga pasti menyusahkan mereka, tak (juga) bantu mereka,” katanya.

“Jadi, kerajaan patut fikir soal ini bukan kenyataan begitu mudah melepaskan tangan dan hukum pula peniaga restoran. Banyak perkara diadu rakyat perlu diambil tindakan segera kerajaan,” katanya. – Malaysiapost

Komen