Tempoh 6 bulan beri masa majikan wujud pematuhan standard – FMM

Tempoh 6 bulan beri masa majikan wujud pematuhan standard – FMM

PERSEKUTUAN Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) menjawab kebimbangan aktivis berhubung kelonggaran yang diberi kepada majikan selama enam bulan selepas membawa masuk pekerja asing untuk mematuhi prasyarat di bawah pelan penggajian pekerja asing yang baru.

Presiden FFM, Soh Thian Lai berkata, berdasarkan tempoh enam bulan sebagai prasyarat, pihaknya percaya majikan telah ada mekanisme pematuhan standard buruh yang diperlukan.

“Maka, tidak perlu ada kebimbangan terhadap sebarang pengabaian atau kompromi terhadap keselamatan, kesihatan dan kebajikan keseluruhan pekerja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Thian Lai berkata, industri sudah maklum berhubung gaji minimum, standard tempat tinggal dan kemudahan, pindaan Akta Kerja 1955 yang berkuat kuasa 1 Januari serta petunjuk-petunjuk berkaitan pengamalan buruh paksa.

Katanya lagi, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia juga telah meningkatkan tahap penguatkuasaan serta pemeriksaan terhadap cara majikan menguruskan pekerja asing.

“Kami berterima kasih apabila mekanisme permohonan mengambil pekerja dikekalkan, di mana majikan akan terus menggunakan Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) sebelum permohonan serta pengeluaran Visa Dengan Rujukan (VDR) yang dikendalikan jabatan imigresen,” katanya.

Beliau bagaimanapun mengalu-alukan tempoh enam bulan itu bertujuan memenuhi keperluan segera terhadap tenaga kerja dalam sektor ekonomi.

Katanya, ia langkah yang baik dari kerajaan untuk menangani kekurangan tenaga kerja dalam sektor dan subsektor kritikal, yang menjejaskan pertumbuhan dan operasi perniagaan.

Dalam masa sama, Thian Lai berkata FMM berharap proses antara kementerian menjadi lebih lancar bagi meningkatkan kecekapan sistem serta mempercepatkan proses pengambilan pekerja.

“Respons pantas oleh Kementerian Dalam Negeri, menerusi jabatan imigresen, terhadap gesaan melanjutkan Pelan Rekalibrasi Pendatang Asing Tanpa Izin 2.0, yang akan bermula 27 Januari ini, adalah satu lagi langkah positif ke arah mengurangkan pekerja asing tanpa dokumen dan pada masa sama memberi pilihan yang lebih pantas untuk (syarikat) mengambil pekerja asing.

Jumaat lalu, Pengarah Inisiatif North-South Adrian Pereira menyuarakan kebimbangan berikutan tempoh enam bulan yang diberikan akan membuka lagi risiko eksploitasi terhadap pekerja asing.

Beliau membangkitkan rekod buruk Malaysia dalam melindungi hak pekerja asing, termasuk bukti dokumen berkenaan kes pemerdagangan manusia dan buruh paksa. – Malaysiapost

Komen