Bawa masuk pakar Singapura, Bersatu dakwa DAP ada agenda halus

Bawa masuk pakar Singapura, Bersatu dakwa DAP ada agenda halus

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyuarakan kebimbangan mengenai langkah kerajaan ingin membawa masuk pakar daripada Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) Singapura bagi berkongsi isu perumahan negara.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Dr Muhammad Faiz Na’aman, berkata tindakan yang ingin dilakukan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming itu boleh mencabul kedaulatan dan keselamatan Malaysia.

Menurutnya, bagi sebuah negara merdeka, soal kedaulatan dan keselamatan negara tidak harus dikompromikan walau dengan apa jua alasan.

“Lebih-lebih lagi jika alasan yang diberikan langsung tak masuk akal dan dilihat sebagai usaha untuk memperbodohkan rakyat.

“Langkah Menteri DAP KPKT (Kor Ming) mahu membawa masuk pakar HDB Singapura boleh menjadi suatu pencabulan yang jelas ke atas kedaulatan dan keselamatan Malaysia.

“Ini kerana kita bimbang penglibatan agensi Singapura itu bukan sahaja meliputi soal perancangan perumahan tetapi juga diberi akses kepada maklumat sensitif kerajaan negara kita berkaitan demografi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, persoalannya apa istimewa HDB Singapura hingga ingin dibawa masuk ke Malaysia berbanding pakar-pakar perancangan bandar tempatan.

“Atau ada ‘udang disebalik batu’ untuk menyusun struktur penduduk dan pemilikan hartanah negara kita menjadi seperti Singapura? Nampaknya tembelang dan kiblat sebenar DAP dah mula keluar.

“Apakah tindak-tanduk Menteri DAP KPKT ini mendapat restu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim? Atau adakah Anwar gagal memantau isu sensitif begini?” soalnya.

Muhammad Faiz berkata, lebih pelik lagi Umno hanya berdiam diri berhubung perkara itu selepas bersama dengan DAP dalam kerajaan.

“Apakah sejak bersekedudukan ‘luar tabii’ dengan DAP, Umno telah mandul dan tunduk kepada DAP? Mana suara ketua-ketua sayap Umno? Mana hilangnya naib-naib Presiden Umno?

“Mana Timbalan Presiden Umno yang memimpin Kementerian Pertahanan? Presiden Umno itu, kita fahamlah dia takkan bersuara kerana dia pasti akan taat kepada ‘cikgunya’,” katanya.

Beliau berkata, apa yang dibimbangkan terdapat agenda politik lebih besar disebalik usaha membawa masuk pakar daripada Singapura itu.

“Kita tahu DAP sudah lama membawa masuk model HDB Singapura dan HKHA Hong Kong di Pulau Pinang. Lihatlah apa jadi kepada Pulau Pinang dan pemilikan hartanah di sana.

“Agenda halus yang disusun menyebabkan ramai yang hanya mampu melihat sahaja rumah-rumah atau projek pembangunan khususnya di kawasan pulau, sedangkan orang lain membelinya.

“Sekilas ikan di air, kita sudah boleh tahu jantan betinanya apa agenda sebenar kerajaan yang dikuasai DAP ini,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Kor Ming memaklumkan bahawa kerajaan Singapura bersetuju untuk meminjamkan pakar mereka bagi berkongsi pengalaman dengan KPKT.

Tindakan itu mendapat bantahan pelbagai pihak termasuk Gerakan Pembela Ummah (Ummah) yang menggesa Perdana Menteri, campur tangan dan mengkaji semula mengenainya.

Pengerusi Ummah, Mohd Zai Mustafa berkata, ia kerana soal kedaulatan dan keselamatan negara perlu diambil kira dalam sebarang keputusan yang dibuat oleh kerajaan. – Malaysiapost

Komen