Biar RoS tentukan keabsahan usul tambahan – Zahid

Biar RoS tentukan keabsahan usul tambahan – Zahid

TIMBALAN Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan Umno sebagai parti yang sangat terbuka bagi ahlinya membuat sebarang aduan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Ia berhubung kait berkenaan keputusan meluluskan usul tambahan pada Perhimpunan Agung Umno (PAU), minggu lalu.

Menurut beliau, sememangnya terdapat klausa dalam Akta Pertubuhan 1996 yang menyatakan keputusan itu perlu dikemukakan kepada ROS.

“Pada hemat saya, isunya bukan untuk kelulusan dari ROS tapi ‘dimaklumkan’.

“Segala proses mesyuarat sudah mematuhi Perlembagaan Umno dan Pengerusi Tetap Persidangan turut mengikut peraturan mesyuarat.

“Jadi jika ada laporan atau sebarang aduan yang dibuat kepada ROS, Umno amat terbuka untuk mereka kemukakan. Kita harap ROS menerima keputusan yang dibuat PAU minggu lalu sebagai keputusan yang absah,” katanya memetik Berita Harian.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan ahli Umno Bahagian Kuala Nerus, Muhammad Aizat Fikri Mohd Nasir dan ahli Umno Negeri Sembilan, Muhammad Fiqri Firdaus Muhammmad Rom membuat aduan kepada ROS berkenaan isu jawatan presiden dan timbalan tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata, biarkan ROS memuaskan hati mereka yang membuat analasis dan spekulasi berkenaan isu jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan.

“Saya menyerahkan diri kepada perwakilan dan mereka sudah membuat keputusan pada PAU minggu lalu.

“Apa yang penting adalah perpaduan dalam kepimpinan UMNO dapat dipertahankan,” katanya. – Malaysiapost

Komen