Duit undi satu sedekah bukan rasuah, bukti Pas bercelaru

Duit undi satu sedekah bukan rasuah, bukti Pas bercelaru

DAKWAAN Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa duit diberikan ketika pilihan raya bukan rasuah tetapi sedekah adalah bercanggah dengan penafsiran ‘suapan’.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir Muhammad Faiz Fadzil, berkata kenyataan itu bercanggah dengan Seksyen 3 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang menyebut tentang perlakuan derma.

Pemimpin PKR itu berkata, dalam erti kata lain, derma adalah satu bentuk rasuah, manakala sedekah berasal daripada bahasa Arab, tetapi dalam Bahasa Melayu difahami sebagai derma.

“Dalil Pas ini seolah-olah cuba berselindung di sebalik bahasa Arab untuk justifikasi perbuatan memberi wang ketika pilihan raya bukan satu rasuah, menunjukkan pemikiran Pas yang semakin bercelaru dan menyimpang dari syariat Islam sebenar.

“Ironinya, Presiden Pas mendakwa sedekah bukan kesalahan pilihan raya sedangkan wang undi itu diberikan ketika tempoh pilihan raya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau berkata, mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihanraya 1954, perbuatan menyogok untuk mendapatkan undi adalah satu kesalahan pilihan raya dan boleh menyebabkan keputusan pilihanraya itu terbatal.

“Untuk tujuan apa wang itu diberikan ketika tempoh pilihan raya? Setiap sedekah itu ada tujuannya. Maka, perkara ini perlu disiasat pihak berkuasa samaada SPRM atau pihak polis,” katanya.

Muhammad Faiz berkata, Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Hamzah Zainuddin pula mendakwa bahawa pemberian wang itu satu rasuah atau tidak bergantung kepada niat.

“Dalam undang-undang, niat bukan dinilai daripada mulut pemberi, tetapi daripada bukti keadaan (cuircumstantial evidence) berdasarkan tempat, masa dan tujuan.

“Jikalau wang diberikan kepada seorang pengundi ketika tempoh pilihan raya oleh parti yang bertanding, tidak cukupkah ia sebagai satu niat sogokan? Hanya mahkamah yang akan menentukan perkara ini,” katanya.

Beliau berpendapat, pengakuan sedekah itu sudah cukup membuktikan wujud aktiviti pemberian wang oleh Pas kepada orang ramai dan satu siasatan menyeluruh yang bebas perlu dijalankan bagi menyiasat sumber wang itu dan tujuannya.

“Penggunaan wang yang banyak oleh Pas ini bukan satu amalan yang betul, baik dari segi undang-undang mahupun moral.

“Ia boleh mengelirukan orang ramai terutama generasi muda bahawa rasuah itu halal dan sah, asalkan berlapik dengan perkataan arab “sedekah”,” katanya. – Malaysiapost

Komen