Majlis Ulama Umno tuntut Sweden mohon maaf pada umat Islam

Majlis Ulama Umno tuntut Sweden mohon maaf pada umat Islam

MAJLIS Ulama Umno mengutuk kerasnya perlakuan ekstrem bersifat Islamfobik membakar kitab suci al-Quran kerana perbuatan itu satu penghinaan terhadap agama Islam.

Pengerusinya, Datuk Dusuki Ahmad, berkata penghinaan terhadap mana-mana agama ditolak oleh masyarakat dunia kerana ia mencetuskan pertembungan persefahaman antara manusia.

“Ia juga jelas bertentangan dengan etika kemasyarakatan yang menghormati hak asasi manusia untuk mengamalkan agama anutan mereka.

“Menegaskan bahawa tindakan melampau ini sudah tentu menyuburkan lagi emosi kebencian sesama manusia dan merobek keamanan bermasyarakat.

“Malah ia boleh mencetuskan tindakan provokasi dan tindak balas termasuk keganasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dasuki berkata, Majlis Ulama Umno turut menuntut kerajaan Sweden memohon maaf kepada seluruh umat Islam dunia dan masyarakat antarabangsa atas kegagalan membendung kejadian jelek tersebut berlaku di negara itu.

Beliau turut menyeru para ulama dan umat Islam supaya terus mendoakan agar kebenaran Islam terus terserlah di seluruh dunia dan memberikan keselamatan kepada penganutnya di mana sahaja mereka berada.

Pemimpin politik sayap kanan Sweden-Denmark, Rasmus Paludan membakar kitab suci al-Quran di Stockholm, Sweden mencetuskan kemarahan dan bantahan umat Islam.

Paludan membakar kitab suci itu di bawah perlindungan polis dekat Kedutaan Turkiye di bandar raya tersebut.

Dia bersama kira-kira 100 orang yang berhimpun itu berbuat demikian selepas Turkiye dilaporkan membantah keanggotaan penyertaan Sweden dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO). – Malaysiapost

Komen