Malaysia bangga dengan Speedy Tigers – Hannah Yeoh

Malaysia bangga dengan Speedy Tigers – Hannah Yeoh

PERSEMBAHAN skuad hoki negara sepanjang kejohanan Piala Dunia 2023 di Bhubaneswar sebelum berakhir dengan gagal mara ke suku akhir selepas tewas 3-4 di tangan Sepanyol menerusi penalti ‘shootout’ malam tadi harus diberi pujian.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, berkata skuad negara bimbingan Arul Selvaraj itu sudah memberikan yang terbaik dan patut dibanggakan.

“Apa yang paling penting ialah mereka telah memberikan yang terbaik. Dan untuk itu, Malaysia berbangga dengan Speedy Tigers kami,” katanya dalam satu ciapan di Twitternya.

Beliau mengulas mengenai kekalahan pasukan hoki negara kepada Spanyol dalam aksi di Stadium Kalinga, Bhubaneswar malam tadi yang menyaksikan keputusan ditentukan menerusi penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2.

Terdahulu Hannah turut meluangkan masa memberi sokongan kepada skuad The Speedy Tigers dengan menyaksikan siaran langsung perlawan menentang Sepanyol di Dataran Merdeka, malam tadi.

Program tayangan skrin gergasi di Dataran Merdeka itu bagi memberi sokongan kepada skuad hoki negara di Piala Dunia 2023.

Dalam aksi penuh mendebarkan malam tadi, perlawanan terpaksa ditentukan menerusi penalti ‘shootout’ selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 sebaik tamat masa sebenar perlawanan.

Pasukan negara sebelum itu bermula garang apabila membuka tirai jaringan menerusi gol padang yang disudahkan penyerang prolifik, Faizal Saari pada minit ke-35.

Bagaimanapun, Sepanyol berjaya meledak dua gol pantas pada minit ke-41 dan minit ke-42 untuk mendahului sebelum Malaysia menyamakan kedudukan melalui jaringan padang Shello Silverius pada minit ke-49.

Ketika penalti ‘shootout’ kedua-dua pasukan terikat 3-3, namun dalam aksi ‘shootout sudden death’, Sepanyol berjaya menyempurnakan peluang berkenaan, manakala Firhan Ashari gagal menyudahkan pukulan penting itu.

Kemenangan itu membolehkan Sepanyol melangkah ke suku akhir dan akan bertemu Australia. – Malaysiapost

Komen