Mercun bernilai lebih RM400,000 dirampas

Mercun bernilai lebih RM400,000 dirampas

POLIS Pulau Pinang merampas pelbagai jenis mercun dianggarkan bernilai lebih RM400,000 dalam serbuan di dua lokasi sekitar Batu Maung, pada 19 dan 20 Januari lalu dan menahan tiga suspek termasuk seorang warga asing.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata dua serbuan dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya dalam Ops Tapis.

Menurutnya dalam serbuan pertama dua lelaki tempatan dan seorang lelaki warga asing berusia 26 hingga 45 tahun yang dipercayai terbabit aktiviti dadah.

“Dalam serbuan itu polis turut merampas satu paket lutsinar dipercayai mengandungi dadah jenis ketamin dianggarkan seberat 6.40 gram bernilai RM960 dan 18 biji Eramin 5 bernilai RM2,700.

“Turut ditemui 81 kotak dan 527 pek pelbagai jenis mercun,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau berkata, hasil soal siasat terhadap suspek yang ditahan membawa kepada serbuan kedua membabitkan sebuah premis di Batu Maung yang menemui 44 guni dan 333 kotak pelbagai jenis mercun.

“Jumlah keseluruhan rampasan mercun dan dadah adalah sebanyak RM408,943 dan kesemua suspek kini direman empat hari sehingga esok.

“Bagi kesalahan dadah, kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala bagi mercun pula disiasat mengikut Seksyen 8 Kata Bahan Letupan 1957,” katanya. -Malaysiapost

Komen