Pendaki dihanyut arus deras ditemui lemas

Pendaki dihanyut arus deras ditemui lemas

Ben Ibrahim

SEORANG pendaki yang dilaporkan hanyut di Sungai Tanum, dekat Merapoh, Lipis, semalam, ditemui lemas pagi tadi oleh pasukan mencari dan menyelamat.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, mayat Haniff Harun, 47, ditemui sekitar jam 11.20 pagi tadi, kira-kira 300 meter dari lokasi dilaporkan hilang.

“Mayat ditemui pasukan mencari dan menyelamat yang menyambung operasi sejak jam 9 pagi tadi.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Lipis untuk bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan media di Kuantan, hari ini.

Semalam aktiviti pendakian 10 pendaki bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus sungai.

Dalam kejadian jam 2.40 petang itu, mangsa bersama rakannya dikatakan dalam perjalanan turun dari Gunung Tahan.

Kumpulan itu mendaki Gunung Tahan pada 20 Januari lalu melalui Merapoh dan dijangka turun semula esok.

Operasi mencari dan menyelamat mangsa membabitkan 15 anggota polis, 18 anggota bomba termasuk Pasukan Mencari dan Menyelamat di Gunung dan Gua (MOCSAR).

Turut menyertai operasi adalah 11 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan 22 anggota Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara Merapoh. – Malaysiapost

Komen