Polis minta saksi kemalangan 6 maut tampil bantu siasatan

Polis minta saksi kemalangan 6 maut tampil bantu siasatan

ORANG ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kemalangan dua kenderaan yang mengakibatkan enam maut di Kilometer (KM) 71, Jalan Batu Pahat – Mersing, Johor petang semalam diminta menyalurkannya kepada pihak polis untuk membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, berkata dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu membabitkan kereta jenis Perodua Myvi dinaiki lapan orang dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) Honda Stream dinaiki tiga sekeluarga.

Menurutnya, kereta Myvi dipandu lelaki tempatan berusia pertengahan 20-an bersama tujuh penumpang berusia enam hingga 25 tahun dari arah Batu Pahat ke Mersing.

“Siasatan awal mendapati kereta berkenaan telah bertembung dengan sebuah kenderaan dari arah Mersing dipandu lelaki tempatan berusia pertengahan 50-an bersama dua penumpang berusia 47 tahun dan 13 tahun.

“Akibat pelanggaran itu, lima penumpang kereta dari arah Batu Pahat mengalami kecederaan parah di tengkuk dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Seorang lagi penumpang kereta berkenaan yang mengalami kecederaan parah di kepala, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom, Kluang,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, lima lagi mangsa daripada kedua-dua kenderaan yang terbabit kemalangan itu yang mengalami kecederaan turut menerima rawatan di Unit Kecemasan hospital sama.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi mana-mana Balai Polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang ditalian 07-7784256,” katanya.

Bahrin turut menasihatkan pengguna jalan raya agar sentiasa memandu dengan berhati-hati serta mengambil kira faktor cuaca dan keadaan fizikal jalan, selain bertimbang rasa agar tidak berlaku kejadian tidak diingini. – Malaysiapost

Komen