Rasuah pengundi bukan amalan Pas – Khairil Nizam

Rasuah pengundi bukan amalan Pas – Khairil Nizam

KETUA Penerangan Pas Pusat, Khairil Nizam Khairudin menegaskan parti itu tidak pernah mengamalkan sebarang bentuk politik wang atau sogokan rasuah kepada pengundi.

Menurutnya, kenyataan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyebut bahawa “Kalau dia (Pas) buat dipanggil sedekah, kalau kita (Umno) buat dipanggil rasuah,” juga adalah tidak benar.

Beliau berkata, ianya adalah suatu kenyataan yang jelas bercanggah dengan ucapan dan makna sebenar Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang.

“Presiden Pas ketika menjawab soalan media di Negeri Sembilan menyebut bahawa, undang-undang pilihan raya tidak membenarkan calon dan wakil calon memberikan sumbangan kepada pengundi.

“Tetapi jika ada individu atau orang awam yang hendak memberikan sumbangan, terpulang kepada mereka sendiri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Jerantut berkata, adapun sumbangan orang awam tersebut tiada kaitan dengan calon, wakil calon atau Pas sebagai sebuah parti yang bertanding.

“Adalah ditegaskan Pas tidak pernah mengamalkan sebarang bentuk politik wang atau sogokan rasuah kepada pengundi.

“Ia berbanding pihak lain yang terkenal dengan amalan politik wang sama ada dalam pemilihan parti mahupun pilihan raya, dan tiada keabsahan moral untuk membangkitkan perkara ini,” katanya.

Ahmad Zahid, semalam membidas kenyataan Abdul Hadi yang mempertahankan pemberian wang oleh segelintir individu kepada pengundi ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dengan mendakwa ia sedekah dan tidak melanggar peraturan.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, sekiranya perkara itu dilakukan pihak lain, Abdul Hadi akan menyifatkannya sebagai rasuah, namun apabila ‘berbalik’ kepada partinya dipanggil pula sedekah. – Malaysiapost

Komen