Amaran hujan tahap bahaya di 2 negeri hingga esok – MetMalaysia

Amaran hujan tahap bahaya di 2 negeri hingga esok – MetMalaysia

JABATAN Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran hujan berterusan atau tahap bahaya melibatkan dua negeri iaitu Johor dan Sabah sehingga esok.

MetMalaysia dalam kenyataan berkata, kawasan-kawasan terlibat di Johor adalah Segamat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.

Menurut kenyataan itu, daerah di Sabah yang dijangka terlibat ialah Sandakan, Telupid, Kinabatangan, Beluran, Sandakan dan Kudat.

Selain itu, amaran hujan berterusan atau tahap buruk dikeluarkan melibatkan kawasan seperti Pahang (Pekan dan Rompin), Johor (Tangkak, Muar, Batu Pahat dan Pontian).

Manakala situasi sama dijangka berlaku di Sarawak (Kuching, Serian, Samarahan, Betong, Sarikei, Sarikei dan Meradong, Mukah dan Bintulu) dan Sabah (Pedalaman, Tambunan, Pantai Barat, Tawau, Lahad Datu, Kudat dan Kota Marudu).

Sementara itu, amaran hujan berterusan atau waspada turut dikeluarkan melibatkan kawasan-kawasan di Pahang iaitu Maran, Kuantan dan Bera, Negeri Sembilan (Kuala Pilah, Rembau, Jempol dan Tampin), Melaka, Sarawak (Sri Aman, Sarikei, Pakan, Julau, Sibu, Bintulu, Miri dan Sabah (Sandakan dan Tongod).

“Angin kencang 50- 60 km/jam dengan ombak mencapai 4.5 meter dijangka boleh berlaku di perairan Johor Timur, Pahang, Terengganu dan Kelantan dalam tempoh tersebut,” menurut kenyataan itu, hari ini.

MetMalaysia berkata, orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman web rasmi jabatan, aplikasi mobil myCuaca dan laman media sosial rasmi jabatan tersebut.

“Talian hotline MET Malaysia 1-300-22-1638 boleh dihubungi bagi sebarang pertanyaan,” katanya. – Malaysiapost

Komen