Anwar tiba di Brunei untuk lawatan rasmi dua hari

Anwar tiba di Brunei untuk lawatan rasmi dua hari

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Brunei untuk lawatan rasmi dua hari ke negara itu.

Lawatan rasmi ke luar negeri kedua Anwar sejak memegang jawatan Perdana Menteri itu diiringi isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Menerusi siaran langsung disiarkan TVS yang dikongsi di laman Facebook rasmi Perdana Menteri, penerbangan khas membawa pemimpin negara itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei pada 3.13 petang.

Ketibaan Anwar dan Dr Wan Azizah disambut Putera Mahkota Brunei, Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah.

Anwar diberikan sambutan rasmi di lapangan terbang itu dengan lagu kebangsaan Malaysia, ‘Negaraku’ dimainkan diikuti lagu kebangsaan Brunei Darussalam, ‘Allah Peliharakan Sultan’.

Perdana Menteri kemudiannya memeriksa perbarisan kawalan kehormatan yang terdiri daripada anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.

Turut hadir di lapangan terbang ialah Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei, Datuk Raja Reza Raja Zaib Shah.

Perdana Menteri dijadual menghadap Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman, esok dan kedua-dua pemimpin kemudiannya akan mengadakan pertemuan empat mata.

Kedua-dua pemimpin dijangka akan mengambil peluang untuk menilai kemajuan kerjasama yang sedang berjalan, di samping mengukuhkan lagi hubungan dan kerjasama yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

Perdana Menteri dan Sultan Brunei juga akan menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Agensi Pelaburan Brunei (BIA).

Selain itu Perdana Menteri turut dijadualkan menghadiri majlis makan malam bersama diaspora Malaysia di Brunei, malam ini. – Malaysiapost

Komen