‘Ayahanda Harimau Kumbang’ tumpas

‘Ayahanda Harimau Kumbang’ tumpas

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan satu pertubuhan haram dikenali sebagai ‘Ayahanda Harimau Kumbang’ yang aktif di daerah Dungun, Terengganu dalam Op Selendang pada 19 hingga 21 Januari lalu.

Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa, berkata ahli-ahli pertubuhan terbabit turut dianggotai pegawai kanan dan anggota PDRM dari daerah berkenaan.

Menurutnya, operasi khas itu dijalankan hasil risikan maklumat yang daripada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman dan pertubuhan haram berkenaan didapati aktif sejak tahun 2021.

“Seramai 28 pegawai kanan dan 46 anggota polis dari Pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, JSJ Terengganu, JIPS Bukit Aman dan Cawangan Khas Bukit Aman telah berkolaborasi dalam Op Selendang ini.

“Operasi berjaya menahan tujuh orang awam, dua orang pegawai kanan polis dan 12 orang pegawai rendah (anggota) polis, berumur antara 19 hingga 58 tahun yang disyaki menjadi ahli dan terlibat dalam aktiviti pertubuhan haram.

“Kesemua pegawai kanan dan anggota polis yang ditangkap ini telah dikenakan perintah ‘Tahan Kerja’ bermula semalam,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, hari ini.

Beliau berkata, turut dirampas sepanjang operasi dilancarkan adalah lapan buah kereta, 28 buah telefon bimbit, enam pedang, ekor ikan pari (senjata), badik, dua naskhah al-Quran, rehal, sembilan helai sejadah dan songkok berlilit kain berwarna.

Menurutnya, rampasan lain membabitkan adalah kain sarung, topi, 10 baju berlambang persatuan, kain kafan, nombor pendaftaran kenderaan berlambang, 30 keping pelekat persatuan, borang keahlian dan banner persatuan Selendang Merah.

“Turut dirampas, dua keping sijil penghargaan, buku aturcara akad sumpah, dua kad keahlian Pesaka, dua pelekat kereta Selendang Merah dan sekeping kad Kepolisan Cegah Jenayah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 yang mana memperuntukkan hukuman maksimum tiga tahun penjara atau denda RM5,000.00, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan,” katanya.

Beliau berkata, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 7(1) Akta Bahan Kakisan Letupan Dan Senjata Berbahaya 1958, yang memperuntukkan hukuman tidak kurang dari lima tahun penjara dan tidak melebihi 10 tahun penjara.

Rohaimi turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung aktiviti jenayah sedemikian supaya tidak takut untuk melaporkannya ke pejabat JSJ IPK Terengganu, agar tindakan selanjutnya dapat diambil. – Malaysiapost

Antara barang yang dirampas membabitkan adalah kain sarung, topi, 10 baju berlambang persatuan, kain kafan, nombor pendaftaran kenderaan berlambang, 30 keping pelekat persatuan, borang keahlian dan banner persatuan Selendang Merah.
Barabgan lain yang turut dirampas,lapan buah kereta, 28 buah telefon bimbit, enam pedang, ekor ikan pari (senjata), badik, dua naskhah al-Quran, rehal, sembilan helai sejadah dan songkok berlilit kain berwarna.

Komen