Bomba terbangkan makanan kepada Orang Asli

Bomba terbangkan makanan kepada Orang Asli

ABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melalui unit udaranya melaksanakan khidmat khas (logistik) penghantaran makanan asas hasil sumbangan kerajaan negeri ke perkampungan Orang Asli di Gua Musang, Kelantan semalam.

Dalam satu perkongsian di laman Facebook Bahagian Udara JBPM, memaklumkan khidmat khas itu membabitkan tiga pesawat iaitu Agusta 109 E (A109E), Agusta Westland 189 (AW189) dan Mi-17-IV.

Bagaimanapun pesawat Mi-17-IV tidak dapat digunakan susulan mengalami masalah sistem hidrolik.

“Misi ini turut dibantu oleh anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang, pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia,” menurut perkongsian itu.

Menurutnya, pesawat AW189 membuat penghantaran di empat lokasi iaitu Kampung Gawin, Pos Simpor, Pos Gob dan Kampung Sempadik membabitkan 4,770 kilogram (kg) barang makanan.

“Pesawat A109E pula membuat penghantaran di Kampung Ladoi membabitkan 1,170 kg barang makanan.

“Jumlah keseluruhan penghantaran hari ini (semalam) adalah 5,940 kg membabitkan penerbangan selama 8.4 jam dan 2,900 liter pengisian minyak,” katanya.

Terdahulu media melaporkan, lebih 37 tan bekalan makanan asas akan diagihkan kerajaan negeri kepada 2,086 keluarga Orang Asli di sekitar Gua Musang yang terputus hubungan disebabkan jalan rosak.

Sumbangan makanan asas itu meliputi 11 barangan makanan termasuk beras, gula, tepung, biskut dan sardin yang akan diagihkan ke perkampungan Orang Asli termasuk enam melalui penghantaran udara. – Malaysiapost

Komen