Jambatan Bagan Datuk-Sejagop siap menjelang Aidilfitri

Jambatan Bagan Datuk-Sejagop siap menjelang Aidilfitri

PROJEK pembinaan laluan Jambatan Bagan Datuk-Sejagop yang tertangguh hampir dua tahun, dijangka siap menjelang Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, projek itu akan memberikan kesan ekonomi yang besar dengan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan di Bagan Datuk selepas ia beroperasi.

“Saya percaya, jambatan ini nanti bukan sahaja akan memberikan kelebihan kepada penduduk Bagan Datuk, tetapi pastinya memberi impak kepada penduduk di daerah-daerah yang berdekatan seperti Pasir Salak, Manjung dan Lumut,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Menurut Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, projek berkenaan lewat disiapkan atas beberapa faktor termasuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19.

Katanya, ketika melawat tapak projek itu semalam beliau diberi jaminan ia akan siap sepenuhnya sebelum sambutan perayaan Aidilfitri nanti.

Projek sepanjang 10.5 kilometer dengan nilai kira-kira RM406 juta yang mula dibina pada akhir 2016 itu sepatutnya siap pada Oktober 2020 lepas.

Ketika ini, projek berkenaan siap 97 peratus dan tidak ada kenaikan kos kerana ia dilaksanakan secara reka dan bina. – Malaysiapost

Komen