JKDNKA rampas barang RM64.7 juta dalam tempoh 20 hari

JKDNKA rampas barang RM64.7 juta dalam tempoh 20 hari

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) merampas pelbagai barangan bernilai RM64.7 juta serta menahan 88 individu menerusi 35 serbuan dan operasi dari 1 hingga 20 Januari lalu.

Setiausaha Polis Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin, berkata operasi itu dijalankan oleh Wildlife Crime Bureau (WCB)/Perisikan dan Siasatan Khas (PSK) JKDNKA.

Menurutnya, sepanjang operasi dan serbuan yang dijalankan itu individu yang ditahan adalah membabitkan 73 warga tempatan dan 15 warganegara asing.

“Operasi dijalankan berdasarkan peruntukan undang-undang antaranya Akta Kastam 1967 membabitkan jumlah rampasan bernilai RM42.8 juta; Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dengan rampasan bernilai RM1.2 juta; dan Akta Bahan Letupan 1957 dengan rampasan bernilai RM7.7 juta.

“Selain itu mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 membabitkan rampasan bernilai RM10.7 juta; Seksyen 13 (a) Akta Racun 1952 dengan rampasan bernilai RM2.2 juta; serta Seksyen 170 Kanun Keseksaan membabitkan nilai rampasan sebanyak RM5,200,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, PDRM melalui JKDNKA akan terus memacu langkah ke hadapan dengan melaksanakan operasi bersepadu bersama agensi penguatkuasaan yang lain dalam memerangi jenayah kontraban dan jenayah lain.

“Kerjasama daripada orang ramai juga amat digalakkan bagi menyalurkan maklumat kepada PDRM untuk diambil tindakan,” katanya. – Malaysiapost

Komen