Mangsa kebakaran akan terima rumah PPRT – TPM

Mangsa kebakaran akan terima rumah PPRT – TPM

KESEMUA enam keluarga yang kediamannya musnah dalam kebakaran di Bagan Ikan, Bagan Datuk pada 16 Januari lalu akan menerima rumah baharu di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata rumah berkenaan bernilai RM66,000 setiap sebuah yang berkeluasan 660 kaki persegi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, turut menghulurkan bantuan awal bagi meringankan beban mangsa yang terjejas terutama mereka sedang menyambut perayaan Tahun Baharu Cina.

“Luluh hati melihat keadaan rumah terbakar di Bagan Ikan, Bagan Datuk yang telah memusnahkan enam buah rumah minggu lalu dan seorang lelaki warga emas turut terkorban setelah terperangkap di dalam rumah.

“Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Lebih-lebih lagi dalam keadaan mereka semua sedang menyambut perayaan Tahun Baharu Cina.

“Saya telah menyerahkan sedikit bantuan dan insya-Allah kesemua enam keluarga akan menerima rumah baharu PPRT dengan nilai RM66,000 setiap sebuah yang berkeluasan 660 kaki persegi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Beliau yang turut melawat kawasan kebakaran dan bertemu dengan mangsa semalam, berharap bantuan yang diberikan dapat segera membantu keluarga yang terkesan.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi 16 Januari lalu, seorang lelaki warga emas berusia 80-an ditemui rentung dalam kebakaran membabitkan enam rumah di Bagan Ikan, Bagan Datuk.

Turut dilaporkan seorang mangsa berusia 24 tahun turut mengalami kecederaan di bahagian lutut dan kebakaran membabitkan enam rumah kelas B yang musnah terbakar 90 peratus. – Malaysiapost

Komen