Menteri tak kompeten tangani masalah aerotrain KLIA

Menteri tak kompeten tangani masalah aerotrain KLIA

LANGKAH mitigasi menyediakan bas pengantara (shuttle) dalam mengatasi masalah perkhidmatan aerotrain di Lapangan terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dilihat gagal dan kelancaran operasi di lapangan terbang itu masih terganggu.

Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan, berkata aduan mengenai perkara itu diterimanya melalui satu rakaman video yang memaparkan keadaan penumpang terpaksa beratur panjang untuk menaiki aerotrain.

“Hari ini saya mendapat satu rakaman video yang dihantar kepada saya mengenai kegagalan Kementerian Pengangkutan memastikan aerotrain di KLIA berfungsi dengan baik.

“Saya dimaklumkan sudah lama hanya satu aerotrain saja yang berfungsi dan pengguna terpaksa beratur panjang. Video ini lebih jelas dan ia dirakam baru sekejap tadi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau mendakwa keadaan itu jelas menunjukkan kegagalan Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook dalam menangani isu aerotrain di KLIA.

“Anthony Loke kata perkhidmatan bas pengganti disediakan. Kenapa tak boleh tambah bilangan bas supaya pelancong tak perlu beratur sebegini panjang?

“Bukankah ini penyelesaian paling mudah sehingga aerotrain diperbaiki? Ini pun tak terfikir untuk buat?” soalnya.

Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor, mendakwa Anthony Loke hanya pandai lari dari tanggungjawab dengan menyalahkan pihak Malaysia Airport Berhad (MAHB).

“Kalau tak boleh uruskan agensi di bawah kementerian sendiri, jangan pula melarikan diri dengan menyalahkan orang lain.

“Inilah sikap menteri-menteri Pakatan Harapan (PH) – Barisan Nasional (BN). Semuanya salah orang lain. Sebab itulah semakin ramai mengatakan menteri PH-BN tidak kompeten,” katanya.

Terdahulu pada 7 Januari lalu ketika lawatannya ke KLIA, Anthony Loke memaklumkan hanya satu set aerotrain yang beroperasi berikutan set kedua menghadapi masalah teknikal.

Menurutnya, pengurusan MAHB telah memulakan projek untuk menaik taraf sistem dan membeli set aerotrain yang baru namun projek itu hanya akan siap dan beroperasi dalam tempoh 24 bulan.

Anthony Loke berkata, langkah mitigasi dilaksanakan MAHB termasuk menyediakan bas shuttle di antara terminal utama dan satelit yang akan beroperasi sepanjang masa untuk mengurangkan kebergantungan kepada aerotrain.

Menurutnya, MAHB akan menyediakan lebih banyak bas panjang dalam operasi menjelang Mac untuk keselesaan dan mengurangkan kesesakan penumpang. – Malaysiapost

Komen