PAS tuding jari untuk tutup salah sendiri – Isham Jalil

PAS tuding jari untuk tutup salah sendiri – Isham Jalil

PEMIMPIN PAS berterusan menuding jari dan melemparkan tuduhan terhadap Umno bagi menutup tindakan merasuah pengundi yang didakwa berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang lalu.

Terbaru, Ketua Penerangan Umno, Isham Jalil berkata, mereka menyatakan bahawa Umno tidak mempunyai keabsahan moral bagi mempersoalkan sama ada PAS terlibat dalam rasuah.

Beliau berkata, matlamat untuk menang tidak menghalalkan cara dan biar bersusah atas landasan perjuangan yang betul dan ikhlas daripada bersenang atas landasan perjuangan yang salah.

“Keberkatan dalam perjuangan dan bagaimana kita menang itu penting, bukan saja matlamat kemenangan itu sahaja. Biar kita kalah bermaruah daripada menang dengan rasuah.

“Ketika zaman Rasulullah, ada golongan yang perangainya macam puak-puak kamu ini, di luar nampak alim dan selalu mengguna agama dan menunggang ayat-ayat al-Quran tetapi di belakang buat perkara batil, mereka digelar munafik. Rasulullah benci dan memerangi orang-orang munafik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Ketua Penerangan PAS, Khairil Nizam Khirudin menegaskan, Umno tidak mempunyai keabsahan moral untuk bercakap mengenai rasuah.

Selain itu, Ketua Dewan Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari meminta Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melihat ke dalam cermin sebelum menyerang Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Isham turut mendakwa tindakan PAS semakin teruk sejak bekerjasama dengan Bersatu.

“Kamu (pemimpin) sudah selesa dan memilih jalan yang sesat. Kamu tidak lagi guna ‘tin milo’ tetapi sudah pandai duduk hotel lima bintang ketika kempen pilihan raya sehingga sudah tidak boleh membezakan antara sedekah dan rasuah. Usah gelap mata dengan duit.

“Muhasabah dan bertaubatlah sebelum terlambat. Kembalilah ke jalan yang lurus,” katanya. – Malaysiapost

Komen