Pengundi Terengganu ditawar ‘sedekah’ sehingga RM600? – Raja Kamarul Bahrin

Pengundi Terengganu ditawar ‘sedekah’ sehingga RM600? – Raja Kamarul Bahrin

PAKATAN Harapan (PH) Terengganu mendakwa pengundi di negeri itu ditawarkan wang tunai disifatkan ‘sedekah’ antara RM300 hingga RM600 pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang lalu.

Pengerusinya, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad, mendakwa sepanjang tempoh berkempen PRU-15 berlaku pemberian wang luar biasa kepada pengundi di Terengganu.

Sehubungan itu, menurutnya, orang ramai terus membuat pelbagai andaian susulan ratusan bilion ringgit wang kerajaan yang dikeluarkan sewaktu tempoh pandemik Covid-19 tidak dapat dikesan.

“Yang menghairankan kami adalah terbabitnya PAS yang selama ini mendakwa diri pejuang Islam dikaitkan dengan perbuatan itu secara meluas.

“Video pihak tertentu memberi wang kepada pengundi dengan janji ‘ikrar’ akan mengundi parti tertentu yang tersebar menguatkan lagi tuduhan berkenaan.

“Yang memeranjatkan kami juga adalah kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menyebut, tiada salahnya memberi wang ‘sedekah’ ketika kempen PRU-15,” katanya di Twitternya.

Raja Kamarul Bahrin berkata, logik Abdul Hadi mengenai pemberian wang tunai itu adalah tersasar kerana hanya Majlis Fatwa Kebangsaan boleh menentukan perkara mengenai niat sedekah.

“Kalau Abdul Hadi menyifatkan pemberian itu ‘sedekah’, dan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin pula mengatakan ia bergantung ‘niat’, nampaknya logik yang agak tersasar ini hanya Majlis Fatwa Kebangsaan boleh menentukan.

“Takkanlah Majlis Fatwa Kebangsaan perlu bertugas setiap pilihan raya!,” katanya.

Beliau turut mempertikaikan pemilihan masa pihak yang bermurah hati untuk bersedekah pada November iaitu pada musim kempen pilihan raya.

“Bukankah waktu rakyat perlu bantuan ‘sedekah’ adalah sebelum buka sekolah dan tahun baharu sekolah buka adalah Mac 2023 dan bukan November 2022.

“Waktu bantuan ‘sedekah’ juga diperlukan selepas banjir melanda Terengganu yang hanya berlaku pada pertengahan Disember dan bukan lebih awal pada awal November apabila ‘sedekah’ diberi secara meluas pada pengundi.

“Kenapakah ‘sedekah’ berlaku di luar musim buka sekolah dan sebelum musim banjir berlaku?. Apakah niat sebenar ‘sedekah’ di luar musim ini,” katanya.

Sabtu lalu, Abdul Hadi mempertahankan pengagihan wang oleh segelintir individu kepada pengundi ketika PRU-15 dengan mendakwa ia adalah sedekah.

Beliau dilaporkan berkata, pemberian itu adalah hak orang awam yang ingin memberikan sumbangan.

Sebelum itu, Barisan Nasional (BN) Terengganu memfailkan petisyen pilihan raya bagi mencabar keputusan PRU-15 di tiga kerusi Parlimen iaitu Marang, Kuala Terengganu dan Kemaman, yang dimenangi calon PAS.

Pengerusi Umno Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, dilaporkan berkata petisyen pilihan raya itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 3 Januari lalu, atas alasan parti lawan merasuah pengundi di ketiga-tiga Parlimen berkenaan sepanjang tempoh kempen PRU-15. – Malaysiapost

Komen