PN yakin tawan Selangor di PRN akan datang

PN yakin tawan Selangor di PRN akan datang

PERIKATAN Nasional (PN) yakin mempunyai harapan cerah untuk merampas Selangor dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Ketua Pemudanya Ahmad Fadhli Shaari, menyatakan keyakinan itu berdasarkan tinjauannya di negeri berkenaan dan perkembangan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang lalu.

Beliau yang juga Ketua Dewan Pemuda Pas, berharap pengundi Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang ‘tertipu’ dalam PRU-15 akan beralih undi kepada PN.

“Alhamdulillah selesai tinjauan di Selangor, harapan cerah untuk rampas kerajaan negeri di dalam PRN.

“Pengundi BN yang tertipu kononnya BN tidak bekerjasama dengan PH, silakan undi Perikatan Nasional. Begitu juga pengundi PH yang benar-benar percaya bahawa undi PH bermakna tolak BN, pun rasa tertipu, silakan undi PN.

“Kali ini, insya-Allah Selangor kita tawan! BN-PH kedua-duanya kita kalahkan sekaligus,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Komposisi kerusi kerajaan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor ketika ini adalah terdiri daripada PKR (19), DAP (15), Amanah (enam), BN (lima), Bersatu (empat), Parti Bangsa Malaysia (PBM) serta Pejuang masing-masing dua manakala Pas, Warisan dan Bebas masing-masing satu kerusi.

Terdahulu Rafizi Ramli dalam kenyataannya di Konvensyen Pilihan Raya PKR Selangor pada 14 Januari lalu, berkata PH dan BN berpotensi untuk menawan 53 daripada 56 kerusi DUN Selangor jika bergabung dalam PRN akan datang.

Timbalan Presiden PKR itu berkata, dapatan diperoleh berdasarkan keputusan PRU-15 lalu dengan undi di 40 DUN memihak kepada calon Parlimen PH. – Malaysiapost

Komen