Safawi cepat sesuaikan diri dalam Liga Thailand

Safawi cepat sesuaikan diri dalam Liga Thailand

PEMAIN skuad Harimau Malaya, Safawi Rasid melihat tiada perbezaan yang ketara antara Liga 1 Thailand dengan Liga Malaysia (Liga M) sekali gus menyaksikan dia berupaya menyesuaikan diri dengan cepat bersama pasukan baharunya, Ratchaburi FC.

Pemain berusia 26 tahun itu berkata, aksi yang ditunjukkan pada penampilan pertama ketika berdepan Khon Kaen United memberi petanda positif dengan dia sentiasa berusaha keras dalam misi merebut tempat dalam kesebelasan utama.

“Segalanya berjalan lancar dengan barisan kejurulatihan dan rakan sepasukan juga banyak membantu sebaik tiba di Thailand. Agak sedih apabila gol yang dijaringkan pada perlawanan menentang Khon Kaen United tidak dikira kerana sistem video bantuan pengadil (VAR).

“Namun, itu juga menjadi peniup semangat untuk beraksi lebih baik pada perlawanan akan datang seterusnya berjaya mencetak nama sebagai penjaring gol untuk pasukan,” katanya memetik Berita Harian.

Terdahulu, Safawi hampir meraih penampilan pertama idaman bersama kelab baharunya itu, Ratchaburi apabila meledak gol pada babak akhir ketika berdepan Khon Kaen United, Sabtu lalu.

Namun, pemain yang dipinjamkan daripada juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) itu tidak bernasib baik apabila jaringan sulungnya pada minit kelima masa tambahan itu dibatalkan VAR kerana ofsaid.

Jaringan itu dihasilkan berpunca daripada sepakan percuma dan Safawi pantas memanfaatkan situasi kelam kabut di depan gol untuk merobek gawang Khon Kaen United pada aksi di Stadium Mitr Pohl itu.

Pada aksi terbabit, pemain berusia 26 tahun itu masuk pada babak kedua bagi menggantikan Anon Amornlerdsak namun Ratchaburi yang beraksi dengan 10 pemain tewas 2-0 menerusi jaringan Youssef Ezzejjari (minit ke-74) dan Phalakon Wokiang (minit ke-79). – Malaysiapost

Kredit foto: Football Tribe

Komen