Sweden digesa mohon maaf tindakan bakar al-Quran – Ismail Sabri

Sweden digesa mohon maaf tindakan bakar al-Quran – Ismail Sabri

KERAJAAN Sweden digesa meminta maaf kepada seluruh umat Islam dan bukan hanya menzahirkan simpati melalui media sosial susulan tindakan biadap ahli politik, Rasmus Paludan yang membakar al-Quran di Stockholm, baru-baru ini.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang kesal dengan perbuatan itu berkata, kebebasan bersuara dan hak asasi manusia bukanlah alasan untuk menghalalkan perbuatan berkenaan.

Naib Presiden Umno itu menegaskan, ia juga jelas bertentangan dengan nilai mana-mana agama sekali pun.

“Tindakan ini telah mengguris serta membangkitkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.

“Sweden sepatutnya sedar mereka tidak hidup bersendirian di dunia ini, malah mempunyai negara sahabat berpenduduk Islam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ismail Sabri, kebebasan bersuara seharusnya dilaksanakan dengan cara yang bertanggungjawab melalui dialog dan toleransi.

Baru-baru ini, Paludan yang juga pemimpin parti politik sayap kanan Denmark Hard Line, menyertai bantahan di hadapan Kedutaan Turkiye di Stockholm, bertindak membakar al-Quran dengan pemetik api.

Beliau bersama kira-kira 100 orang yang berhimpun itu berbuat demikian selepas Turkiye dilaporkan membantah keanggotaan penyertaan Sweden dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Susulan itu, pelbagai pihak mengecam perbuatan itu yang dianggap menyalahgunakan kebebasan bersuara bertujuan mewujudkan ketidaktenteraman masyarakat dunia. – Malaysiapost

Komen