Tiga beradik panjat bumbung kereta terperangkap dalam banjir

Tiga beradik panjat bumbung kereta terperangkap dalam banjir

TIGA beradik berdepan detik cemas apabila kereta yang mereka naiki terperangkap dalam banjir di sebuah jalan di Labis, Segamat petang tadi.

Mereka terpaksa menyelamatkan diri dengan keluar dan duduk di atas bumbung kenderaan tersebut sebelum diselamatkan pihak bomba.

Ketua Balai Bomba Labis, Penolong Penguasa Bomba Hafifie Md. Sarif, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.51 petang berkenaan mangsa yang terperangkap dalam banjir.

“Setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian, didapati tiga orang mangsa yang kesemuanya lelaki telah berada di atas bumbung kenderaan. Kenderaan mangsa telah separuh tenggelam dalam banjir dan terperangkap di tengah-tengah kawasan yang telah dinaiki air.

“Seramai lima anggota bomba telah dikejarkan ke lokasi kejadian. Tiga beradik yang dalam perjalanan dari Labis ke Segamat berjaya diselamatkan dalam masa 30 minit.

“Terima kasih kepada orang awam yang bertindak pantas menghubungi pihak bomba bagi memaklumkan mengenai kejadian,” katanya memetik Utusan Malaysia.

Hafifie  berkata, pihak bomba menggunakan jaket keselamatan bagi membawa kesemua mangsa ke tempat selamat dan operasi tamat jam 2.24 petang.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya bertindak menyelamatkan diri terlebih dahulu ke tempat yang tinggi dan selamat sementara menunggu pasukan penyelamat. – Malaysiapost

Foto : Utusan Malaysia

Komen