Warga asing ditahan cuba intai pelajar wanita

Warga asing ditahan cuba intai pelajar wanita

SEORANG warga asing dari Timur Tengah ditahan kerana disyaki mengintai dan mencuri seluar di sebuah rumah didiami sekumpulan wanita yang terletak di kondominium di Cyberjaya, hari ini.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut daripada seorang pelajar wanita berusia 20 tahun pada jam 2.16 petang.

“Sekitar jam 12.53 tengah hari, salah seorang jiran mangsa bernama Intan yang sedang mengemas rumah ternampak suspek dipercayai seorang lelaki berbangsa Arab sedang membuka tingkap tandas di bahagian tepi rumah mangsa.

“Lelaki berkenaan telah memanjat ruang yang ada di bahagian tepi rumah mangsa untuk mengintai. Intan bertindak keluar dari rumah dan mengejar suspek yang bertindak melarikan diri kerana terkejut.

“Ketika kejadian, tiada siapa di dalam tandas dan mangsa tidak menyedari perbuatan suspek, namun berjaya dirakam oleh jiran mangsa sebelum dia bertindak melarikan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Kamarul Azran berkata, jiran mangsa terus memaklumkan kejadian berkenaan kepada mangsa dan selepas membuat pemeriksaan, wanita itu mendapati sehelai seluar panjang milik rakan serumah telah hilang dipercayai dicuri suspek berkenaan.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat, polis berjaya memberkas suspek berusia 23 tahun yang merupakan seorang pelajar di sebuah kolej dalam satu serbuan di kondominium sama, sekitar jam 4 petang pada Selasa.

“Pasukan serbuan merampas sebuah telefon bimbit, baju dan seluar yang digunakan suspek ketika kejadian. Bagaimanapun, seluar milik rakan serumah mangsa belum dijumpai.

“Semakan mendapati suspek yang berasal dari Timur Tengah itu tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan siasatan diteruskan mengikut Seksyen 509/379 Kanun Keseksaan,” ujarnya. – Malaysiapost

Komen