Asean Chamber bantu pembangunan belia Islam Kemboja 

Asean Chamber bantu pembangunan belia Islam Kemboja 

PELBAGAI kerjasama dua hala antara belia Islam Kemboja dan Malaysia bakal diadakan pada masa depan.  

Presiden Pertubuhan Belia Islam Kemboja (CMYA), Nasiet Othsman berkata, perkembangan positif telah dapat dirangka antara dua pihak yang mendapat sokongan padu daripada Dewan Perdagangan dan Industri Asean atau lebih dikenali sebagai Asean Chamber of Commerce Incoperation.  

Menurutnya, kunjungan delegasi CMYA ke Malaysia berjaya memperkukuh rancangan pembangunan belia Islam di Kemboja dan sememangnya bantuan dan galakan dari Malaysia amat diperlukan.  

“Delegasi kami telah dibawa mengadakan pertemuan dengan Majlis Belia Malaysia yang memberikan harapan untuk membantu kami di Kemboja membangunkan belia Islam. 

“Banyak perkara dibincang terutama dalam sektor meningkatkan sosio ekonomi belia Islam Kemboja, beberapa jenis perniagaan yang berpotesi diteroka di Kemboja dan sebagainya.  

“Terima kasih kepada Asean Chamber terutama Datuk Sohaimi Shahadan yang banyak membantu dari segi buah fikiran, galakan dan perancangan dua hala nanti,” katanya ketika ditemui Malaysiapost, baru-baru ini di Kuala Lumpur. 

Pada masa sama, Nasiet berkata, pihaknya akan memberi kerjasama penuh kepada perniagaan Richiamo Coffee yang akan membuka kafe sulungnya di Kemboja tidak lama lagi.  

“Ini satu peluang dan jenis perniagaan yang patut diterokai di Kemboja. Pihak kami akan memberi galakan dan sokongan penuh untuk menjayakan perniagaan ini. 

“Saya diberitahu ini kafe pertama Richiamo di luar Malaysia, sudah tentu ini membuka peluang pekerjaan dan perniagaan kepada belia Islam Kemboja untuk menceburinya.  

“InshaAllah kami akan memastikan seberapa ramai belia Islam kemboja untuk mengambil kesempatan ini dan saya harap selepas ini perniagaan Richiamo Coffee ini akan dibuka lebih banyak di Kemboja,” katanya. – Malaysiapost

Komen