Bajet 2023 penuhi keperluan setiap masyarakat – PM

Bajet 2023 penuhi keperluan setiap masyarakat – PM

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan Bajet 2023 yang dibentang semula bulan depan akan memenuhi keperluan setiap lapisan masyarakat.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, intipati Bajet 2023 masih sedang diperincikan lagi, namun, ia tidak akan meminggirkan mana-mana pihak.

“Belum siap lagi (Bajet 2023), inilah masalahnya. Sarawak minta (peruntukan), Sabah pun minta (peruntukan).

“Di bawah (pentadbiran) saya, (M40) tidak dipinggirkan. B40 penting, tapi M40 juga kita akan berikan perhatian,” katanya lapor Bernama.

Beliau berkata demikian pada akhir lawatan dua hari ke Brunei.

Hadir sama Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Bajet 2023 akan dibentang semula di Dewan Rakyat pada 24 Februari ini susulan perubahan tampuk pentadbiran kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 19 November tahun lalu.

Anwar sebelum ini dilaporkan berkata, Bajet 2023 yang bakal dibentang semula bulan depan tidak akan terikat dengan apa yang dibentang oleh kerajaan terdahulu pada Oktober tahun lalu. – Malaysiapost

Komen