Beberapa daerah di 5 negeri berisiko banjir kilat

Beberapa daerah di 5 negeri berisiko banjir kilat

JABATAN Pengairan dan Saliran (JPS) mengeluarkan notis kesiapsiagaan kemungkinan banjir kilat dalam tempoh 12 jam di beberapa kawasan di Johor, Melaka, Pahang, Sarawak dan Sabah.

Notis berkenaan dikeluarkan melalui Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), JPS pada jam 5 petang tadi membabitkan lima negeri berkenaan.

Berdasarkan notis yang dimuat naik di laman Facebook rasmi JPS itu, kawasan berkenaan diramal dijangka mengalami banjir kilat susulan maklumat ramalan hujan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia).

Notis berkenaan juga dikeluarkan berdasarkan ramalan sistem ‘Southeastern Asia-Oceania Flash Flood Guidance’ (SAOFFGS) dan model ramalan banjir JPS Malaysia.

Kawasan ‘hotspot’ yang berisiko banjir kilat adalah membabitkan beberapa kawasandi 10 daerah di Johor.

“Kawasan berisiko banjir kilat di Johor membabitkan daerah Batu Pahat, Johor Bahru, Kluang, Kota Tinggi, Kulai, Mersing, Muar, Pontian, Segamat dan Tangkak.

“Lokasi berisiko banjir kilat di Melaka pula membabitkan tiga daerah iaitu Alor Gajah, Jasin dan Melaka Tengah, manakala di Pahang membabitkan daerah Rompin dan Bera,” menurut notis itu.

Notis itu turut membabitkan tiga bahagian di Sarawak iaitu Kuching, Sibu dan Bintulu, manakala di Sabah membabitkan beberapa kawasan di daerah Kota Marudu, Kota Belud, Kudat, Pitas, Sandakan, Beluran, Paitan dan Tuaran.

“Notis kesiapsiagaan ini dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk terutamanya di kawasan berisiko supaya berwaspada dengan sebarang kemungkinan berlakunya banjir kilat sepanjang tempoh itu,” menurut JPS.

JPS turut mengingatkan orang ramai supaya mematuhi arahan pihak berkuasa atau agensi pengurusan bencana banjir dan layari laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my.

Maklumat lanjut juga boleh diperoleh dari semasa ke semasa di laman Facebook @PublicInfoBanjir dan Twitter @JPS_InfoBanjir. – Malaysiapost

Komen