Bersihkan ‘microwave’ guna mop, 7-Eleven mohon maaf

Bersihkan ‘microwave’ guna mop, 7-Eleven mohon maaf

PIHAK pengurusan rangkaian kedai serbaneka, 7-Eleven Malaysia (7-Eleven) memohon maaf atas tindakan seorang pekerjanya yang tular gara-gara membersihkan ketuhar gelombang mikro menggunakan mop lantai.

Dalam satu kenyataan, 7-Eleven memaklumkan perbuatan itu adalah pelanggaran yang jelas terhadap protokol sanitasi dan tidak mencerminkan standard tinggi yang diamalkan di semua kedainya.

“Kami memahami kepentingan mengekalkan persekitaran yang bersih dan selamat untuk pelanggan kami, dan kami memberi jaminan tindakan segera telah diambil terhadap kakitangan itu bagi memastikan perkara ini tidak berulang.

“Kami kesal atas sebarang kesulitan atau kebimbangan yang mungkin timbul disebabkan hal ini, dan kami menghargai sokongan berterusan anda,” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun syarikat itu tidak menjelaskan jenis tindakan yang diambil terhadap pekerja berkenaan.

Terdahulu, kecoh di media sosial apabila seorang pekerja menggunakan mop yang digunakan mengelap lantai untuk membersihkan peralatan memanaskan makanan di kedai tersebut.

Menerusi beberapa keping gambar yang dimuat naik di akaun Twitter @AshrafChak, dilihat pekerja berkenaan bertindak memasukkan mop lantai ke dalam ketuhar gelombang mikro untuk membersihkannya. – Malaysiapost

Komen