Guan Eng puji Fadhlina pastikan tiada diskriminasi agama, bangsa di sekolah

Guan Eng puji Fadhlina pastikan tiada diskriminasi agama, bangsa di sekolah

TINDAKAN tuntas Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memastikan dakwaan berlakunya diskriminasi pelajar berdasarkan agama dan bangsa di Johor tidak benar, mendapat pujian Lim Guan Eng.

Pengerusi DAP itu berkata, Fadhlina telah memastikan ekstrimisme dan perkauman dalam sistem pembelajaran di sekolah tidak seperti didakwa pihak tertentu sekali gus menghalang ia membiak di sekolah. 

“Menteri Pendidikan harus dipuji kerana memastikan tidak berlaku sebarang diskriminasi di SMK Infant Jesus Convent di Johor Baru. 

“Semua pelajar tanpa mengira latar belakang mesti diberi peluang pendidikan yang sama untuk menyemai semangat Malaysia seperti yang dinyatakan dalam Rukun Negara kita. 

“Ekstremisme dan perkauman tidak boleh dibenarkan membiak di sekolah kita,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini. 

Semalam, Kementerian Pendidikan (KPM) mendapati tidak berlaku isu diskriminasi terhadap semua calon yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sekolah berkenaan seperti didakwa pihak tertentu.

KPM memaklumkan, siasatan mendapati dakwaan kononnya pihak pengurusan sekolah itu menganjurkan Bengkel Persediaan Peperiksaan SPM dengan hanya membabitkan pelajar daripada agama tertentu, adalah tidak benar.

KPM berkata, laporan awal mendapati, bengkel tersebut satu daripada pelbagai perancangan pihak berkaitan, bagi memastikan murid tanpa mengira kaum, dapat membuat persediaan menjelang SPM.

Jelasnya, pada 19 dan 20 Januari lalu, Bengkel Persediaan Peperiksaan SPM untuk calon itu dilaksanakan di Hotel Suasana, Johor Bahru melibatkan 30 calon yang gagal Bahasa Melayu dan Sejarah serta calon GALUS (gagal lulus) beberapa mata pelajaran lain.

KPM memaklumkan, bengkel dilaksanakan itu diasingkan mengikut siri untuk mengelak gangguan terhadap calon yang sedang membuat persiapan bagi menyambut Tahun Baharu Cina. – Malaysiapost 

Komen