Imigresen tambah baik sistem temujanji online buat pasport

Imigresen tambah baik sistem temujanji online buat pasport

JABATAN Imigresen menambah baik sistem temujanji online bagi permohonan pasport, yang akan turut disertakan tarikh, masa dan nombor giliran kepada pemohon.

Ia adalah antara langkah awal yang akan dilaksanakan bagi mengatasi isu kesesakan di kaunter pasport Jabatan Imigresen, yang sering mendapat rungutan daripada orang ramai.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata keputusan itu dibuat selepas mesyuarat khas bersama Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz; Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud dan pengurusan tertinggi KDN serta Imigresen.

Selain itu, Saifuddin berkata, mesin pencetak pasport juga akan ditambah di pejabat pasport yang sesak dan mempunyai kadar pengunjung yang tinggi.

“Pejabat pasport Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) turut beroperasi sebagai pejabat pengeluar pasport bagi kes segera dan kecemasan, selain permohonan biasa.

“Pada masa sama, sebanyak 20 Pejabat Pengeluar Pasport, selain Pusat Transformasi Bandar (UTC) akan beroperasi tujuh hari seminggu bermula 27 Januari 2023,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Sementara itu, Saifuddin memaklumkan, beberapa langkah segera turut diambil bagi mengatasi isu pelawat asing beratur panjang di KLIA yang berpunca daripada ketibaan pesawat secara serentak.

“Bagi mengatasi isu ini, beberapa langkah segera akan diambil, antaranya kajian perluasan penggunaan ‘autogate’ kepada pelawat dari 10 negara yang berisiko rendah dilaksanakan segera.

“Selain itu, pengwujudan dua kumpulan Pasukan Tindakan Pantas (QRT) yang akan mula beroperasi pada 1 Februari 2023 bagi membantu pegawai di kaunter semasa waktu puncak,” katanya. – Malaysiapost

Komen