Jururawat, suri rumah didakwa perdagang bayi

Jururawat, suri rumah didakwa perdagang bayi

SEORANG jururawat dan suri rumah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas pertuduhan memperdagangkan bayi, tiga tahun lalu.

Noor Azlina Mohd Nasir, 41, yang bertugas di sebuah hospital di Alor Setar dan D Murugamal, 52, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Norashima Khalid selepas pertuduhan dibacakan secara serentak, lapor Sinar Harian.

Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama mencapai niat memperdagangkan seorang bayi perempuan berusia sembilan hari iaitu sejenis eksploitasi yang menyalahi undang-undang.

Bagi kesalahan itu, kedua-dua tertuduh yang telah pun berkahwin didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan dibaca bersama di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya, Evangelin Simon Silvaraj mencadangkan agar mahkamah mengenakan wang jaminan RM15,000 seorang.

Kedua-dua tertuduh yang diwakili Peguam Mohd Firdaus Mohd Farouk memohon mahkamah mengurangkan jaminan atas alasan Noor Azlina mempunyai lima anak manakala Murugamal menghidap sakit jantung dan kencing manis.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan RM10,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 Februari depan untuk sebutan semula kes. – Malaysiapost

Kredit Foto sinar harian

Komen