Kerajaan digesa beri penjelasan mengenai Islam kepada duta Sweden, Belanda

Kerajaan digesa beri penjelasan mengenai Islam kepada duta Sweden, Belanda

KERAJAAN digesa memanggil duta Sweden dan Belanda ke Malaysia bagi memberi penjelasan terhadap Ahli Parlimen berhaluan kanan mereka yang membakar Al Quran dan penghinaan serangan keji seorang anti Islam di The Hague.

Exco Pemuda Umno, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin berkata, perkara ini amat serius dan boleh menggugat ketenteraman awam sekali gus membawa ketidakharmonian agama di seluruh dunia.

“Nila setitik, rosak susu sebelanga tak mengapa lagi. Ini membakar Al Quran, kalam Allah yang Maha Agong dan amat disanjung oleh umat Islam. Perkara yang tidak dapat diterima oleh orang Islam seluruh dunia.

“Saya menganggap mereka ini golongan tidak berotak dan bertamadun. Mengagungkan kebebasan bersuara, tetapi langsung tidak berakal dalam membuat sesuatu perkara dan keputusan.

“Saya amat berharap kerajaan dapat meminta duta Sweden dan Belanda agar mengambil maklum perkara ini dengan setegas-tegasnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Muqharabbin berkata, jangan kerana Islam semakin diterima di seluruh dunia kerana kebenarannya, mereka yang anti Islam mula gusar dan takut dengan perkembangan Islam.

“Seharusnya, mengambil pendekatan dengan mendampingi dan memahami Islam ini sendiri yang terang-terang menentang keganasan, menentang kezaliman, penindasan, pembunuhan dan jauh sekali membenci agama dan bangsa lain di dunia.

“Kerana sesungguhnya tiada paksaan dalam Islam dan Islam sentiasa menghormati hak dan kebebasan beragama.

“Sebagai umat Islam, kami diajar untuk tidak membenci dan mencaci agama lain kerana bagi kami agama kami, dan bagi mereka agama mereka. Percayalah kepada agama dan kepercayaan masing-masing dan saling hormat sesama bangsa,” katanya. – Malaysiapost

Komen