Konvoi motosikal berkuasa tinggi hampir dihanyutkan banjir

Konvoi motosikal berkuasa tinggi hampir dihanyutkan banjir

SEKUMPULAN konvoi motosikal berkuasa tinggi dipercayai dari Singapura berdepan detik cemas apabila kenderaan yang dinaiki hampir dihanyutkan banjir di Jalan Nitar, Mersing.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintenden Abdul Razak Abdullah Sani berkata, kejadian berlaku pada tengah hari tadi ketika konvoi berkenaan dalam perjalanan dari Mersing ke Kluang menuju ke Kuantan, Pahang.

Menurutnya, setakat ini tiada laporan polis diterima berkaitan kejadian itu.

“Konvoi enam buah motosikal berkuasa tinggi itu dari arah Mersing ke arah Kluang. Ketika tiba di lokasi motosikal yang ditunggang ada yang rosak.

“Kumpulan konvoi itu telah dibantu oleh anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang membuat tugasan banjir di kawasan Kampung Jamari, Mersing.

“Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa berlaku. Konvoi terbabit meneruskan perjalanan dengan bantuan trak penunda,” katanya dipetik laporan Sinar Harian.

Sebelum itu tular video berdurasi 27 saat memaparkan beberapa individu menyelamatkan motosikal berkuasa tinggi yang dipercayai hanyut ketika cuba meredah jalan yang dinaiki air banjir. – Malaysiapost

Komen