‘Otak saya kosong, maaf Naim tak dapat jadi sekuat awak’ – Sissy Iman

‘Otak saya kosong, maaf Naim tak dapat jadi sekuat awak’ – Sissy Iman

PESERTA program Famili Duo, Sissy Iman memohon maaf kepada gandingannya, Naim Daniel kerana terpaksa berdepan dengan situasi yang menimpanya ketika ini.

Menerusi hantaran di Instagramnya hari ini, Sissy berkata, sebelum pertandingan bermula, mereka sudah berjanji untuk bersama-sama menghadapi apa saja kemungkinan.

Bagaimanapun, dia meminta maaf terhadap Naim yang juga sepupunya kerana tidak dapat menjadi sekuat Naim.

“Saya minta maaf sebab awak kena hadap semua pertanyaan seorang diri. Saya minta maaf atas semua panggilan dan mesej awak yang saya tak jawab sebelum ni sedangkan semua ini sepatutnya menjadi tanggungjawab kita bersama.

“Tak semena-mena awak yang kena ambil alih segalanya sekarang,” tulisnya.

Sissy juga meminta maaf kepada rakan-rakan termasuk media yang cuba menghubunginya.

“Sissy minta maaf juga kepada semua rakan-rakan media dan rakan-rakan yang saya tinggalkan di dalam gelap, terperangkap di dalam gelap sama seperti saya.

“Jangan risau. Insya-Allah saya akan kembali. Beri Sissy sikit saja masa lagi ya? Sayang semuanya,” tulisnya.

Dalam hantaran sama, Sissy mengakui fikirannya kosong dan belum mampu untuk mencari idea dan konsep untuk dibawa pada hujung minggu ini.

“Hari ini hari Rabu. Selama enam minggu sebelum ini, hari inilah hari di mana kita dah putuskan konsep persembahan.

“Kita langgar waktu dengkur kita dengan perbincangan dan pastikan ‘deck’ yang kita buat bersama dah siap supaya produksi dah boleh bentangkan kepada props dan penata gaya dah boleh cari baju.

“Dan hari inilah hari yang sepatutnya kita dah dapat audio daripada pengarah muzik selepas selesai latihan dengan band yang selalunya hari Isnin, kita dah siap susun (muzik).

“Tapi minggu ini, dalam otak saya kosong. Tak ada lagu. Tak ada visual,” tulisnya.

Ahad lalu, Sissy menerima kritikan pedas daripada juri tetap, Mas Idayu ketika konsert minggu keenam program Famili Duo susulan gagal memberikan persembahan terbaik. – Malaysiapost

Komen