PAS pasti lipat gandakan ‘sedekah’ pada PRN, sindir Puad

PAS pasti lipat gandakan ‘sedekah’ pada PRN, sindir Puad

PAS akan melipat gandakan amalan ‘sedekah’ pada enam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan tidak lama lagi, sindir Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu berkata, setakat ini PAS belum didapati bersalah oleh pihak berkuasa atas perbuatan memberi ‘sedekah’ kepada pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Sehubungan itu beliau mendakwa dijangka akan meneruskan amalan itu pada PRN akan datang berikutan didakwa memiliki banyak wang untuk tujuan tersebut.

“Oleh kerana belum ada tindakan terhadap sedekah PAS, sudah tentu PAS akan melipat-gandakan sedekah di PRN enam negeri akan datang..

“Apatah lagi PAS masih banyak duit untuk disedekahkan. Menurut pemimpin PAS, aktiviti mengedar tin milo sudah lama dibuat. Ia bantu PAS kumpul duit mungkin bilion ringgit untuk disedekahkan,” sindir Mohd Puad dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Polemik memancing undi menggunakan wang disifatkan sebagai sedekah tercetus apabila Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa ia bukan amalan rasuah, sebaliknya pemberian ‘sedekah’ itu adalah hak orang awam untuk memberikannya kepada pengundi parti itu.

Sebelum itu, Barisan Nasional (BN) Terengganu memfailkan petisyen pilihan raya bagi mencabar keputusan PRU15 di tiga kerusi Parlimen iaitu Marang, Kuala Terengganu dan Kemaman, yang dimenangi calon PAS.

Pengerusi Umno Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, dilaporkan berkata petisyen pilihan raya itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 3 Januari lalu, atas alasan parti lawan merasuah pengundi di ketiga-tiga Parlimen berkenaan sepanjang tempoh kempen PRU-15.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menegaskan, rasuah adalah rasuah, tidak kira bagaimana seseorang itu memilih untuk mentafsirkannya kerana undang-undang jelas mentakrifkan maksud pembelian undi.

Katanya, SPRM menyiasat apa sahaja bentuk rasuah berdasarkan peruntukan undang-undang, bukannya mengikut kepada tafsiran peribadi.

Dalam pada itu, Mohd Puad mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan keras bagi memastikan amalan ‘sedekah’ PAS tidak berterusan pada PRN enam negeri nanti.

“Oleh kerana SPRM sudah kata sedekah waktu pilihan raya adalah rasuah, maka diharap SPR dan SPRM bertindak keras terhadap aktiviti sedekah PAS semasa PRN nanti,” katanya. -Malaysiapost

Komen