PDRM kerjasama dengan Interpol jejaki pasangan Rusia ceroboh Menara Merdeka 118

PDRM kerjasama dengan Interpol jejaki pasangan Rusia ceroboh Menara Merdeka 118

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) bekerjasama dengan Polis Antarabangsa (Interpol) dan Unit Biro Pusat Nasional (NCB) Moscow bagi mengenal pasti identiti pasangan warga Rusia yang menceroboh Menara Merdeka 118.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, setakat ini pihaknya telah merekodkan keterangan 13 individu termasuk kakitangan menara ikonik tersebut.

“Kita telah minta bantuan Interpol untuk pengesahan selain bantuan NCB Moscow di Rusia untuk kesan identiti dua suspek terbabit.

“Selain itu, kami juga sedang menunggu laporan analisa video pasangan terbabit oleh pihak Cyber Security dan setakat ini ketulenan video itu masih belum dapat disahkan lagi,” katanya pada Program Hari Bersama Media Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, hari ini.

Noor Dellhan berkata, polis juga telah menerima maklum balas daripada Jabatan Imigresen Malaysia yang pasangan itu dipercayai telah keluar dari Malaysia.

Menurutnya, siasatan masih dijalankan dan polis sedang dalam proses untuk melengkapkan kertas siasatan.

Beliau turut menasihatkan pengurusan mana-mana bangunan yang menjadi tumpuan agar meningkatkan serta memperketatkan kawalan keselamatan bagi mengelak insiden pencerobohan berulang.

Sebelum ini, polis telah menerima satu laporan dari pihak Menara Merdeka 118 yang dibuat di Balai Polis Tun H S Lee pada 29 Disember lalu.

Disember lalu, tular gambar pasangan warga Rusia itu, Ivan Beerkus dan Angela Nikolau berdiri di puncak bangunan berkenaan yang dimuat naik di laman sesawang SkyscraperCity.com. – Malaysiapost

Komen