Penginapan pekerja asing macam kandang lembu – Sivakumar

Penginapan pekerja asing macam kandang lembu – Sivakumar

PIHAK majikan diberi amaran supaya menyediakan kemudahan penginapan yang selesa untuk pekerja warga asing mereka dan bukan seperti kandang lembu atau kerbau.

Menteri Sumber Manusia V Sivakumar, berkata penginapan pekerja asing yang tidak mematuhi syarat ditetapkan akan membahayakan pekerja terutama apabila berlaku pandemik atau bencana yang tidak diingini.

“Ini adalah amaran kepada majikan seluruh negara berikutan Malaysia akan membawa masuk ramai pekerja asing untuk keperluan lima sektor yang sudah diumumkan.

“Kita longgarkan perkara itu (kemasukan pekerja asing) tetapi kita perlu pastikan bila mereka datang ( ke Malaysia) mereka mempunyai tempat tinggal yang sesuai,” katanya.

“Jangan buat macam kandang lembu atau kandang kerbau, ia sangat membahayakan pekerja-pekerja asing dan akan menjadi isu besar jika berlaku musibah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengetuai Operasi Khas Penguatkuasaan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) di tiga kilang berasaskan produk kayu dan getah di Klang, hari ini.

Hasil pemeriksaan mengejut itu mendapati tempat penginapan pekerja serba daif dan kotor.

Sivakumar berkata, antara kegagalan pematuhan syarat yang dikesan ialah majikan didapati tidak menyediakan tilam, ruang memasak buruk dan bilik sempit.

Katanya pemilik ketiga-tiga kilang itu akan didakwa sejurus kertas siasatan lengkap.

“Hasil pemeriksaan dilakukan mendapati majikan kilang berkenaan melakukan beberapa kesalahan mengikut akta yang dikuatkuasakan oleh JTKSM antaranya Seksyen 24D Akta 446 dan juga kesalahan mengikut Peraturan 3 dan 4 akta sama.

“Majikan juga melakukan kesalahan mengikut akta dikuatkuasakan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) serta tidak mencarum di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso),” katanya.

Menurutnya, ketiga-tiga kilang itu beroperasi dengan 44 pekerja tempatan dan 526 pekerja asing dari Nepal, Bangladesh dan Myanmar. – Malaysiapost

Komen