Tiada sesiapa boleh disisih berdasarkan keturunan, agama – Sultan Johor

Tiada sesiapa boleh disisih berdasarkan keturunan, agama – Sultan Johor

JABATAN Pendidikan Negeri Johor perlu mengambil tindakan keras terhadap pihak tidak bertanggungjawab yang cuba menganggu gugat keharmonian antara kaum menerusi pembelajaran di sekolah.

Sultan Ibrahim Iskandar bertitah, tiada seorang pun rakyat di negeri itu boleh dipinggirkan daripada program awam berdasarkan keturunan bangsa dan agama yang dianutinya.

“Saya tidak mahu Bangsa Johor keliru dan mula berburuk sangka antara satu sama lain. Saya cukup menitik beratkan betapa pentingnya untuk persefahaman, perpaduan dan toleransi antara kaum kita yang pelbagai.

“Jabatan Pendidikan mesti bertindak pantas untuk menangani situasi sebegini agar tidak menular emosi negatif serta perkara tidak sahih dalam kalangan rakyat. Ini juga pengajaran kepada semua pihak yang perlu menangani rasa tidak puas hati mereka.

“Tiada orang patut disisihkan daripada suatu program awam kerana agama atau bangsanya. Jika benar ada yang telah diasingkan kerana itu, maka tindakan perlu diambil kepada penganjur. Begitu juga jika didapati tuduhan adalah tidak benar dan dilempar oleh pihak tidak bertanggungjawab,” titah Sultan Johor.

Baginda berkata demikian dalam hantaran di Facebook yang merujuk berita tular mendakwa satu bengkel peperiksaan dianjur hanya untuk pelajar muslim di Sekolah Menengah Kebangsaan Infant Jesus Convent, Johor Bahru, baru-baru ini.

Sultan Ibrahim juga bertitah, isu-isu yang boleh mengancam keharmonian dan perpaduan Bangsa Johor mesti ditangani dengan cekap oleh pihak berkuasa.

Titahnya, tindakan pantas dan tepat oleh pihak berkuasa akan mencegah kekeliruan dan penularan sentimen berbaur kebencian.

Semalam, Kementerian Pendidikan (KPM) mendapati tidak berlaku isu diskriminasi terhadap semua calon yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sekolah berkenaan seperti didakwa pihak tertentu.

KPM memaklumkan, siasatan mendapati dakwaan kononnya pihak pengurusan sekolah itu menganjurkan Bengkel Persediaan Peperiksaan SPM dengan hanya membabitkan pelajar daripada agama tertentu, adalah tidak benar.

KPM berkata, laporan awal mendapati, bengkel tersebut satu daripada pelbagai perancangan pihak berkaitan, bagi memastikan murid tanpa mengira kaum, dapat membuat persediaan menjelang SPM.

Jelasnya, pada 19 dan 20 Januari lalu, Bengkel Persediaan Peperiksaan SPM untuk calon itu dilaksanakan di Hotel Suasana, Johor Bahru melibatkan 30 calon yang gagal Bahasa Melayu dan Sejarah serta calon GALUS (gagal lulus) beberapa mata pelajaran lain.

KPM memaklumkan, bengkel dilaksanakan itu diasingkan mengikut siri untuk mengelak gangguan terhadap calon yang sedang membuat persiapan bagi menyambut Tahun Baharu Cina. – Malaysiapost

Komen