‘Tiada sesiapa terduduk, cuma rakyat dihidang lawak jenaka’

‘Tiada sesiapa terduduk, cuma rakyat dihidang lawak jenaka’

PEMUDA PAS menyindir Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang sebelum ini mendakwa pemimpin Perikatan Nasional (PN) akan ‘terduduk’ dalam sebulan lagi berhubung isu penawaran dan permintaan barangan.

Kini setelah genap sebulan, Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari berkata, tiada siapa yang ‘terduduk’ seperti didakwa Rafizi yang juga Timbalan Presiden PKR.

Sebaliknya, katanya, rakyat pula dihidangkan dengan kenyataan-kenyataan lawak jenaka dari Rafizi saban hari.

“Setelah hanya dua bulan lebih kerajaan PH-BN ini berkuasa, sudah banyak kenyataan lawak jenaka beliau menghiasi media tanah air.

“Antaranya, jangan beli ayam jika mahal, boikot peniaga restoran jika harga masih mahal dan lain-lain.

“Mohon kekalkan menteri ini dalam Kabinet. Jangan diubah-ubah. Ia membantu meruntuhkan kerajaan PH-BN dengan lebih pantas,” sindir Ahmad Fadhli menerusi hantaran di Facebooknya.

Bulan lalu, Rafizi berkata, pemimpin PN yang mempertikai kenyataan beliau berhubung isu penawaran dan permintaan barangan akan ‘terduduk’ dalam sebulan lagi setelah langkah itu difahami rakyat dengan rasional.

Menurut Menteri Ekonomi itu, usaha untuk menyuntik keanjalan dalam permintaan diperlukan sebagai satu mekanisme kawalan harga.

“Kerajaan banyak data harga yang boleh digunakan rakyat. Kita mula dengan yang ini.

“Jangan takut dengan pandangan umum. Insya-Allah rakyat yang rasional akan mula memahami dan ikut serta.

“Dalam sebulan lagi, geng-geng PN yang pertikai semua akan terduduk. Sama macam mereka terduduk soal-soal lain yang asalnya kontroversial tapi bila hujahnya dibentang satu persatu, rakyat yang cerdik faham,” kata Rafizi. – Malaysiapost

Komen