‘Zahid lebih arif bezakan elemen rasuah, politik wang’ – Ahmad Yahya

‘Zahid lebih arif bezakan elemen rasuah, politik wang’ – Ahmad Yahya

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berterusan diserang para pemimpin PAS berikutan kenyataan sinis beliau terhadap Tan Sri Abdul Hadi Awang mengenai amalan ‘sedekah’ kepada pengundi. 

Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Ahmad Yahya berkata, kenyataan Presiden Umno itu mempunyai niat untuk mengelirukan orang ramai. 

Katanya, terdapat perbezaan jelas antara amalan rasuah dan politik wang dengan pemberian sedekah khususnya ketika kempen pilihan raya berjalan. 

“Tuan Guru Tan Sri tidak pernah berdolak dalik dengan pandangannya. Apa yang dijelaskan itu telah nyata. Ia tiada kaitan dengan usaha menghalalkan amalan rasuah sebagaimana yang cuba ditohmah oleh Zahid. 

“Malangnya, Zahid sengaja memutarbelitkan kenyataan tersebut supaya mereka dapat membakulkan rasuah dan sedekah dalam satu bahagian yang sama. 

“Saya berpandangan beliau sebenarnya lebih arif untuk membezakan elemen rasuah dan politik wang yang merosakkan masyarakat dengan pemberian sedekah. Namun, malangnya beliau kelihatan masih keliru dan mengelirukan orang lain,” katanya memetik laporan Harakah. 

Sabtu lalu, Abdul Hadi menyatakan bahawa amalan memberikan sumbangan wang kepada pengundi dianggap sebagai sedekah jika dilakukan oleh orang awam dan tiada kaitan dengan amalan rasuah. 

Ahmad Zahid dalam maklum balasnya berkata kenyataan Abdul Hadi itu menyebabkan orang ramai semakin tidak menghormati ulama politik yang menentukan hukum mengikut situasi yang memihak kepadanya. 

“Kalau dia buat sedekah, kalau kita bagi rasuah, ulamak ni jangan tukar-tukar hukum lah. Jangan tukar fatwa lah. Akhirnya ulamak politik tidak dihormati oleh rakyat,” katanya. 

Sementara itu Harakah turut melaporkan, Ketua Pemuda PAS Kelantan, Mohamad Kamal Mohamed berkata, Kerajaan Perpaduan sengaja mahu mencipta sensasi bagi mengalih perhatian rakyat yang semakin yakin terhadap Perikatan Nasional (PN). 

“Mengikut undang-undang pilihan raya, calon dan wakil-wakil calon tidak boleh beri (wang), tetapi orang awam mahu beri sedekah, terpulang kepada dia,”

“Sama ada sengaja membuat geger atau cuba mengalih isu melibatkan prestasi kerajaan semasa dengan kenyataan demi kenyataan yang bercanggah, apa lagi kecaman hebat terhadap idea Madani yang diakronimkan secara tidak wajar dan langsung tiada ‘wow factor‘. 

“Hanya dilihat biasa dan sejujurnya saya jangkakan sesuatu yang berbeza daripada Perdana Menteri ke-10 tetapi hampa,” katanya. 

Justeru, Mohamad Kamal berkata, Ahmad Zahid perlu menyelesaikan kes mahkamah yang terpalit sebelum berkata mengenai rasuah terhadap orang lain. 

“Pesan saya pada BN-PH, selesaikan dahulu dakwaan-dakwaan mahkamah Timbalan Perdana Menteri. 

“Setidaknya biarkan SPRM jalankan tugas mereka dan petisyen yang dikemukakan oleh bekas Menteri Besar Terengganu yang terkenal ‘nakal’ untuk berjalan mengikut lunas undang-undang. 

“Tidak perlu melatah, menyumpah seranah dan mengumpan persepsi demi persepsi yang setakat hari ini tiada satu pun benar sehingga dikenal sebagai Kerajaan Perpaduan, mahir mengemuka formula mudah menyalahkan orang dan menipu tanpa berkerut kening,” katanya. – Malaysiapost

Komen