Acuan madani tak ikut Islam akan menuju kegagalan – Hadi

Acuan madani tak ikut Islam akan menuju kegagalan – Hadi

KONSEP ke arah negara madani yang diterapkan Kerajaan Perpaduan ketika ini akan menemui kegagalan jika tidak berlandaskan acuan Islam. 

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, konsep yang dicetuskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu pasti akan mengikut jejak langkah kegagalan tamadun-tamadun sebelum ini jika tidak berasaskan ajaran Islam.

“Acuan madani yang tidak berasaskan acuan Allah SWT dan Rasulullah SAW pasti akan menuju kegagalan yang sama seperti mana tamadun sebelumnya dan tamadun moden yang sedang membakar dirinya sekarang.

“Umat Islam tidak boleh terpengaruh dengan konsep Civil Society dibawa oleh mereka yang tidak beriman seperti Thomas Paine, John Locke, Jean-Jacques Rousseau, Montesquieu, Adam Smith, Karl Marx dan lain-lain,” katanya dalam hantaran di Facebook. 

Mengulas lanjut, Abdul Hadi menegaskan, perkataan madani yang berasal daripada bahasa al-Quran hendaklah diterjemah dengan makna yang sahih secara beramanah dengan ilmu Islam, sumber ilmu yang wajib dipelihara, disampaikan dan diamalkan mengikut perintah Allah.

“Saya mengulas sebuah tajuk yang menjadi perbincangan panas beberapa hari ini iaitu ucapan yang disampaikan berkait dengan satu tema, ‘Membangun Negara Madani: Visi dan Kerangka Reformasi’.

“Syeikh Abul Hasan ‘Ali al-Nadwi RH pernah menegaskan konsep Negara Hidayah, bukan Negara Jibayah. Negara Hidayah dengan maksud sebuah negara yang mengikuti jalan yang lurus. Manakala Negara Jibayah pula membawa maksud negara yang berpandukan kepada asas materialistik semata-mata. 

“Konsep madani yang sebenar telah berjaya dilaksanakan Rasulullah SAW berpandukan nas dan ijtihad, berkonsepkan siasah syar‘iyyah dan maqasid al-syari‘ah dari aspek tadbir urus dalam menangani realiti yang sentiasa mengalami perubahan,” katanya. 

Ahli Parlimen Marang itu turut menekankan konsep negara madani yang sebenar tidak boleh bersekongkol dengan gejala rasuah dan salah urus tadbir. 

“Al-Farabi juga menegaskan bahawa dalam usaha melakukan perubahan untuk menjadi negara berkonsep madani tidak boleh dijayakan dengan gejala rasuah, salah laku, salah urus, zalim, pengabaian integriti dan lain-lain,” katanya. – Malaysiapost

Komen