Ada bukti, boleh failkan kes tentukan keputusan PRU15 – Fadillah

Ada bukti, boleh failkan kes tentukan keputusan PRU15 – Fadillah

SEKIRANYA ada bukti, pihak yang mempertikaikan kesahihan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dicemari amalan rasuah, boleh memfailkannya di mahkamah.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata pihak yang masih tidak berpuas hati itu boleh memfailkan kes dengan membawa bersama bukti dakwaan bahawa PRU itu patut dibatalkan disebabkan ada amalan rasuah.

“Dalam proses pilihan raya Malaysia, jika dapat buktikan mereka boleh failkan di mahkamah, ini prosedurnya dan ikutilah.

“Tapi kalau sekadar cakap, saya kira mungkin ramai yang boleh cakap, tapi nak bawa ke mahkamah itu yang telah diperuntukkan dalam Perlembagaan dan segala peraturan kita.

“Jadi bawalah kalau siapa tidak puas hati dan buktikan bahawa PRU itu patut dibatalkan disebabkan ada amalan rasuah,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Fadillah menegaskan, keputusan sama ada keputusan pilihan raya itu terbatal atau tidak hanya ditentukan oleh agensi-agensi kerajaan yang dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan tugas dan peranan mereka.

“Biarlah agensi berkenaan melaksanakan tugas dan peranan mereka kalau terbukti untuk membawa siapa-siapa ke muka pengadilan,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyifatkan PRU15 lalu sebagai ‘yang paling korup berbanding semua pilihan raya diadakan di Malaysia’.

Dalam hantaran di laman Twitter, Mahathir berkata, sumber dana parti perlu dipersoal, dan siasatan dilakukan jika calon atau parti berbelanja mewah.

Beliau menggesa supaya had dikenakan terhadap perbelanjaan parti politik ketika pilihan raya bagi mengekang amalan rasuah.

Katanya, walaupun perbelanjaan untuk calon individu dihadkan kepada RM200,000 ketika tempoh kempen, tiada had dikenakan bagi perbelanjaan parti dalam pilihan raya. – Malaysiapost

Komen