Ahmad Zahid perlu direhatkan daripada jawatan TPM – Ahmad Faizal

Ahmad Zahid perlu direhatkan daripada jawatan TPM – Ahmad Faizal

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menggesa agar Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi direhatkan dari tugas sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata tindakan itu bagi memastikan perbicaraan 47 pertuduhan dihadapi Presiden Umno itu dapat diselesaikan tanpa kelewatan atau gangguan.

Menurutnya, ia berikutan permohonan difailkan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu untuk pasportnya dikembalikan secara kekal, walaupun dokumen itu sebelum ini diserahkan bagi mematuhi syarat ikat jamin perbicaraan yang masih berlangsung.

“Dalam permohonannya, Ahmad Zahid mendakwa beliau telah diberi mandat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mewakilinya dalam beberapa urusan pentadbiran negara, selain bagi melancarkan pergerakan, urusan dan tugasan selaku Timbalan Perdana Menteri, yang dikehendaki berada di dalam dan di luar negara.

“Permohonan yang menggunakan alasan kepentingan negara ini nyata dilihat memberi tekanan kepada pihak mahkamah serta hakim dan akan mengganggu proses perbicaraan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, walaupun ia menjadi kuasa mutlak hakim untuk memulangkan pasport berkenaan, namun bidang tugas yang dipegang Ahmad Zahid yang dalam pentadbiran kerajaan ketika ini, akan memberi kesan kepada kuasa bidang kehakiman untuk menjamin perbicaraan yang efisyen, lancar serta tanpa penangguhan.

“Pemulangan pasport berkenaan pastinya akan menyebabkan lebih banyak kelewatan dalam proses perbicaraan, dengan pelbagai alasan urusan tugas, seterusnya akan mengambil masa yang lebih lama untuk diselesaikan.

“Hakikatnya, pentadbiran negara mempunyai Timbalan Perdana Menteri yang masih berdepan perbicaraan 47 pertuduhan di mahkamah ketika ini juga perlu dilihat sebagai perosak kepada komposisi Jemaah Menteri serta kerajaan secara keseluruhan.

“Ia adalah satu penghinaan kepada majoriti pengundi dalam pilihan raya umum ke-15, yang mengharapkan sebuah kerajaan bersih, telus dan berintegriti,” katanya.

Ahmad Faizal berkata, pendekatan terbaik bagi menangani isu itu adalah dengan Perdana Menteri, bertegas supaya Ahmad Zahid direhatkan sebagai Timbalan Perdana Menteri bagi memberi fokus kepada proses perbicaraan mahkamah.

“Tindakan itu bagi menjamin sistem kehakiman negara yang bebas dan adil, selain menjamin perbicaraan yang telus tanpa sebarang campur tangan dan penangguhan,” katanya.

Terdahulu Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, hari ini memohon Mahkamah Tinggi mengembalikan pasport antarabangsa miliknya secara kekal secepat mungkin.

Menurutnya, ia bagi membolehkan beliau menjalankan tugas rasmi sebagai Timbalan Perdana Menteri dengan lancar.

Ahmad Zahid menghadapi 47 pertuduhan iaitu 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Kes itu yang kini berada di peringkat bela diri yang dijadualkan bersambung pada 10 April ini di hadapan Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah. – Malaysiapost

Komen